rap

Bekas wartawan Harian Metro dan penulis lirik, Rudy Imran Shamsudin meninggal dunia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Bekas wartawan hiburan Harian Metro dan penulis lirik, Rudy Imran Shamsudin, 47, meninggal dunia akibat kanser usus di kediaman keluarganya di Semenyih, Selangor jam 11.30 pagi hari ini.

Rakan rapatnya yang juga wartawan hiburan Harian Metro, Sudirman Mohd Tahir berkata, Rudy yang sebelum itu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, dibenarkan pulang ke rumah dua hari lalu.

"Dua hari lalu, adiknya menghantar mesej kepada saya memaklumkan arwah sudah dibenarkan pulang ke rumah. Namun, dia meminta supaya perkara itu dirahsiakan," katanya.

Menurut Sudirman, kali terakhir dia bertemu dengan Rudy adalah ketika menziarahinya di hospital pada Januari lalu.

"Sewaktu menziarahinya pada Januari lalu, dia ada beritahu saya, dia segan kalau orang datang melawatnya kerana dia takut tak boleh nak layan tetamu," katanya.

Rudy menyertai Harian Metro pada 2004 sebagai wartawan hiburan sebelum meninggalkan akhbar ini pada 2019.

Allahyarham yang berpengalaman sebagai wartawan selama 26 tahun juga pernah berkhidmat dengan akhbar Utusan Malaysia, Bacaria, Harian Watan dan majalah Hai.

Sebagai penulis lirik, pencapaian terbaik Rudy yang turut dikenali dengan nama Iman Imran ialah lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL).\

Allahyarham turut menulis lirik Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Hey! Kau (Allahyarham Sandra) dan Nyawa & Raga (Sarah Suhairi).

Selain itu, Rudy juga pernah menghasilkan novel yang diinspirasikan daripada kisah-kisah cinta artis tanah air berjudul Menangkah Cinta?

Disiarkan pada: March 31, 2022 @ 2:10pm
d