rap

Ramadan tanpa insan tersayang

Oleh Norhayati Nordin

"TAHUN ini, kali pertama Ramadan tanpa dia (Sarah), memang sedih, gementar pun ya. Fikirkan perasaan anak-anak termasuk diri sendiri juga."

Begitu kata Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, mengenai sambutan Ramadan bersama keluarga apabila kehilangan isteri tercinta, penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 9 Ogos, tahun lalu.

Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 selepas tiga hari melahirkan anak keempat mereka, Ayash Affan kini berusia tujuh bulan secara pembedahan pada 6 Ogos ketika kandungan berusia tujuh bulan.

Berbicara lanjut mengenai kenangan mereka ketika Ramadan, Shuib berkata, dia dan Sarah suka pergi ke bazar bersama-sama untuk pilih dan membeli kuih-muih, termasuk mencari makanan kegemarannya iaitu pajeri nanas.

"Kami suka pergi bazar Ramadan sama-sama. Pilih kuih, cari pajeri nanas. Dan kalau nak cakap apa yang tak boleh lupa ketika Ramadan, saya memang akan minta Sarah masakkan pajeri nanas.

"Dia pun tahu saya memang suka pajeri nanas. Jadi, dia memang takkan tak buat dan dia mesti buat (masakkan). Itu yang dirindui, pajeri nanas

Sarah. Selain itu, ada lagi satu masakan kegemaran Sarah iaitu dia suka masak kerutup ayam atau kerutup daging. Ya Allah, sedapnya," katanya.

Berbicara juga mengenai keperibadian arwah isterinya, Shuib berkata, aktiviti Sarah ketika Ramadan, dia kerja macam biasa dan di sebelah petang pasti akan banyak masa di rumah untuk masak dan menyiapkan juadah berbuka mereka sekeluarga.

"Jadi, Ramadan kali ini tak ada persiapan dan saya lebih kepada perancangan untuk bersahur serta berbuka dekat mana, dengan siapa. Sambutan pun biasa-biasa saja.

"Tak adalah 'heavy' sebab memikirkan hari pertama puasa ini sahur macam mana, berbuka macam mana, anak-anak punya perasaan termasuk 'daddy' dia punya perasaan juga," katanya lagi.

Apa pun, Shuib berkata insya-Allah, bulan puasa ini adalah ruang terbaik untuk dia sekeluarga berbuat amal jariah, sedekah dan beribadat.

"Insya-Allah, harap tahun ini boleh menjalani puasa dengan baik dan dapat perbanyakkan lagi amal ibadat. Dapat buat banyak sedekah khususnya untuk Siti Sarah," katanya.

Shuib bernikah dengan Allahyarham Siti Sarah pada 26 Februari 2011. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7 dan Ayash Affan.

Seorang lagi selebriti yang berhadapan kehilangan insan tersayang juga ketua keluarga iaitu pelakon drama Dunia Baru, Anita Baharom, 39. Suaminya, Allahyarham Ismadi Ismail, 50, meninggal dunia ketika tidur pada 1 Januari lalu.

Anita berkata, dia bersama arwah suami dan anak-anak meraikan Ramadan mereka sebelum-sebelum ini dengan meluangkan banyak masa berada di masjid untuk beribadat.

"Biasanya dulu sebelum datang Covid-19, kami selalunya sekeluarga banyak luangkan masa di masjid. Kami sering berbuka puasa di masjid, solat Maghrib dan Isyak sampai habis Tarawih, selalu imarahkan macam itulah.

"Tapi, pada 2020 sebab Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tak boleh lagi ke masjid, kami sekeluarga berbuka di rumah. Cuma, tahun lalu hanya arwah banyak berbuka di masjid hingga Tarawih dan saya pula di rumah.

"Sepanjang bulan puasa kami sekeluarga memang lebihkan ibadah saja. Tapi, sekarang saya dah kena kerja semula dan tak tahu macam mana lagi keadaannya kerana banyak benda sudah berubah. Anak-anak mungkin kena berbuka sendiri dan berdikari," katanya.

Mengulas juga aktiviti arwah suaminya di rumah ketika Ramadan, Anita berkata, arwah selalunya akan masak juadah sahur dan berbuka sebab Allahyarham seorang yang suka makan, termasuk 'explore' pelbagai makanan enak.

"Saya dan anak-anak biasanya bersahur makan ringkas saja, tapi arwah selalu makan nasi. Jadi, dia akan masak juadah sahur. Arwah memang suka makan dan dia rajin masak di dapur. Malah, hidangan kesukaannya ialah mi kicap.

"Macam Ramadan tahun lalu, memang dia yang rajin dan selalu masak di dapur. Tapi, arwah juga suka pergi bazar Ramadan, beli kuih dan makanan sedap yang dia rasa nak makan. Dia pandai pilih makanan enak," katanya.

Menurut Anita, kini dia dan anak-anak akur harus menahan rindu pada masakan arwah. Katanya, Allahyarham suaminya memang handal bab makanan yang sedap-sedap.

"Sekarang, bila dia yang suka makan itu dah tak ada, saya pun tak tahu nak masak apa. Kalau masak pun, siapa pula nak makan dan habiskan nanti.

"Kalau ikutkan teringat pada arwah, sampai sekarang saya dan anak-anak masih menangis lagi. Kami memang sangat rindu dan sentiasa teringatkan dia. Malah, sekarang saya dan anak-anak juga tidur bersama di ruang tamu. Kami masih tak boleh tidur dalam bilik kerana teringatkan arwah.

"Apa pun, saya tetap kena kuat untuk anak-anak. Sekarang, saya ibu dan bapa mereka. Malah, apabila anak-anak sedih rindukan daddy, saya akan beri semangat bahawa kami sudah dipilih oleh Allah untuk melalui ujian besar ini. Saya selalu ingatkan mereka, menjadi anak yatim ada hikmahnya di sisi Allah," katanya.

Anita berkata, cuma kini dia sekeluarga perlukan masa untuk membiasakan diri. Katanya, dia pun kalau balik ke rumah selepas habis 'shooting', perasaannya terus akan berasa sedih dan sunyi.

"Saya memang selalu menangis setiap kali balik ke rumah. Teringatkan arwah dan rindu padanya. Apa pun, saya bersyukur rezeki dalam karier lakonan kini terus dimurahkan Allah untuk menyara keluarga. Saya pun dah aktif membintangi beberapa drama dan telefilem setakat ini.

"Apa yang pasti, Ramadan saya sekeluarga tahun ini agak menyedihkan kerana kehilangan insan kami sayang. Pada masa sama, mak saya pun sedang terlantar sakit. Harapan saya, semoga kami dapat jalani Ramadan ini dengan mempertingkatkan ibadah," katanya.

Anita dan Allahyarham Ismadi bertemu jodoh pada 2006 dan hasil pekongsian hidup bersama, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Disiarkan pada: April 4, 2022 @ 6:50am
d