rap

Aizat, Elyssa bahagia jalin cinta

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Aizat Amdan mengakui sedang bahagia menjalin hubungan cinta dengan wanita dikenali Elyssa Alia.

Aizat berkata, dia sudah mempunyai perancangan untuk membawa hubungan yang dibina ke fasa serius apabila sudah merisik teman wanitanya itu pada 12 Februari lalu.

"Insya-Allah, ada dalam perancangan (untuk berkahwin). Dia adalah insan istimewa dalam hidup saya.

"Mudah cakap dia adalah teman wanita sayalah. Untuk hal-hal lain selepas ini, saya akan kongsikan kemudian," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Armani Entertainment Group di Hotel Hilton, di sini, semalam.

Ditanya mengenai bibit perkenalan, Aizat berkata, mereka sudah berkenalan sejak dua tahun lalu dan kini Elyssa menguruskan kerjaya seninya termasuk bertindak sebagai pengurus syarikat miliknya, Kasi Gegar Entertaiment.

"Kali pertama saya jumpa dia ketika dia bertugas sebagai penyampai radio, Rakita.

"Bagi saya, Elyssa seorang yang sangat istimewa dan penyayang. Dia sangat sukakan budak-budak. Itu ciri yang membuatkan saya jatuh hati kepadanya.

"Insya-Allah kalau tiada aral melintang, akan langsung tahun ini. Sekarang saya tak boleh nak beri kata putus lagi," katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2022 @ 2:19pm
d