rap

Manfaat ruang perbaiki diri - Boy Iman

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Tahun 2018 semasa saya dilanda musibah, jemaah tabligh diketuai Maulana Helmi dan DR Sam ada datang pejabat saya mengajak saya menyertai jemaah dakwah.

"Ketika itu Maulana Helmi baru mula nak bina empayar bergerak secara aktif. Dia ajak ke Yala tapi saya tak pergi atas sebab tertentu," kata pelakon Noruliman A Rahman atau Boy Iman, 42.

Menurutnya, dia terus memasang azam dan niat untuk menyertai jemaah dakwah selepas itu namun belum berkesempatan.

"Syukur... baru sekarang saya berpeluang melakukannya apabila 'keluar' tiga hari pada 8 hingga 10 April lalu di madrasah milik Maulana Helmi di Jerantut, Pahang.

"Ia bukan asing buat artis hijrah dan antara yang turut serta ketika itu ialah DR Sam, Zack Kool, Aris Ariwatan dan YouTuber terkenal Zukee.

"Sebenarnya nak pergi sana pun kena ada hidayah dan seruan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Boy Iman, antara dugaan dilaluinya ialah kereta rosak, telefon jatuh dan pecah, namun dia tetap bertekad untuk pergi juga.

"Saya akui tiga hari program sangat menggembirakan. Jemaah tabligh dididik untuk tidak menghukum atau pandang status seseorang itu sama ada baik atau buruk.

"Menerusi sesi penerangan atau Bayan Hidayat kita diajar semua yang hadir jangan fikir soal status dan jangan bersangka buruk dengan orang.

"Semua tetamu perlu dimuliakan. Saya belajar semua perkara mengenai keindahan Islam. Perbaiki kelemahan diri dari segi solat dan sebagainya," katanya.

Boy Iman berkata, dia dapat merasai sendiri keajaiban yang berlaku sebaik program selesai apabila pemuda yang tidak dikenali sanggup membelanjanya ketika berbuka puasa di sebuah restoran.

"Inilah nikmat yang saya dapat. Masa di sana, saya dapati ramai orang berjaya dan kaya datang. Mereka sumbang wang untuk program berbuka dan lain-lain.

"Jadi selepas ini, saya sebagai pemilik Pertubuhan Kebajikan Dan Sosial Iman (Periman) nak ajak orang, menyumbang untuk bantu kerja-kerja dakwah.

"Selepas ini saya dapat sertai sebulan sekali pun okey. Saya sukakan sifat-sifat Maulana Helmi yang sangat terpuji. Dia bergaul dengan semua orang tanpa kira status," katanya yang akan ke Pulau Perhentian pula selepas Aidilfitri.

Bercerita perkembangan terbarunya dalam industri, dia gembira kerana baru sahaja memperolehi lesen pengarah dari Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM).

"Saya sekarang sedang shooting beberapa video viral untuk syarikat. Selain itu, saya juga tengah tunggu untuk berlakon filem Kak Yong sambungan filem Bini-Bini Ku Gangster.

"Saya juga baru selesai berlakon drama Rehal untuk TV AlHijrah, manakala drama episod Laluna sedang ditayangkan di TV2 jam 8 malam setiap Jumaat dan Sabtu," katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2022 @ 3:36pm
d