rap

Shakilla bincang dengan suami untuk rujuk semula

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Shakilla Khoriri mengaku ada memujuk dan bercakap dengan bekas suaminya yang juga penyampai radio Suria FM, Fizi Ali untuk kembali bersama.

Bagaimanapun Shakilla memaklumkan, sehingga kini Fizi masih belum memberikan kata putus, namun percaya dia memerlukan masa untuk membuat keputusan dalam hidupnya.

"Kalau boleh saya nak hidup kembali dengan Fizi walaupun ia agak sukar mungkin di pihak Fizi. Bagi wanita, mungkin boleh mudah memaafkan dan ingin cuba memperbaiki hubungan menjadi lebih baik.

"Tapi saya tak tahu apa yang difikirkan dan perancangannya buat masa ini tapi saya dapat rasakan dia perlukan masa. Mungkin dia tidak mahu kalau kami kembali (merujuk) akan timbul masalah baru ataupun berdepan isu yang sama.

"Walaupun ramai yang memujuk untuk kembali bersama demi anak tapi anak-anak ini akan membesar dan dia akan ada kehidupannya sendiri nanti. Takkanlah kita nak hidup dengan seseorang yang tak boleh bersama kita lagi.

"Benda ini sangat sulit. Kalau Allah sudah tetapkan hubungan saya dan Fizi hanya sekadar kawan saja, saya reda. Tapi andai kata dua atau tiga tahun nanti Dia jodohkan semula dan sayang itu masih kuat... saya tidak akan menolak," katanya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program-Program Raya Awesome TV 2022 di sini, semalam.

Menurut Shakilla, dia berasa terkilan apabila terdapat sesetengah pihak yang bertanyakan bila dia bakal menamatkan zaman janda sedangkan hatinya masih bersedih dengan apa yang berlaku.

"Bagi saya, pertanyaan ini sangat keterlaluan. Janganlah terlalu berterus terang sebab saya pun masih bersedih, cuma tidaklah nak cakap saya sedih 24 jam.

"Ibaratnya hari ini saya menangis sepuas-puasnya, esok saya kena bangun dengan keadaan baru. Benda dah pun terjadi dan saya kena 'move on' dengan takdir yang Allah tentukan.

"Saya memang tiada perancangan, lebih-lebih fasal jodoh sebab saya ada anak perempuan. Kalau ada jodoh dengan orang lain, macam-macam benda saya kena fikir. Tapi saya tidak menolak perancangan Allah.

"Bagi saya, dalam tempoh dua hingga empat tahun ini saya tidak terfikir untuk berjumpa atau mengenali mana-mana lelaki selain Fizi. Saya nak fokus dengan kerja dan pastikan saya sihat," katanya.

Fizi dan Shakilla mengumumkan perceraian mereka pada Disember tahun lalu. Mereka berkahwin pada Februari 2018 dan mempunyai seorang anak iaitu Ameena Sofia yang kini berusia tiga tahun.

Disiarkan pada: April 21, 2022 @ 2:07pm
d