rap

Anna Jobling kena denggi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Anna Jobling yang juga bekas peserta Dewi Remaja 2018/19 dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, di sini, semalam selepas disahkan menghidap denggi.

Anna, 22, atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman yang kini terbabit dengan penggambaran drama Melur Untuk Firdaus, awalnya mengalami demam selama beberapa hari.

Selain itu bahagian badannya turut dipenuhi ruam merah serta suhu badan agak tinggi.

"Penggambaran Melur Untuk Firdaus dibuat sekitar Melaka dan Port Dickson. Ketika itulah saya rasa tak sedap badan dan bertindak ke hospital bagi melakukan ujian darah.

"Keputusan ujian bagaimanapun menunjukkan saya negatif denggi dan doktor berikan cuti dua hari untuk berehat. Selepas itu saya kembali semula ke set penggambaran. Ketika itu saya rasa okey cuma pening kepala. Bagaimanapun pada sebelah malamnya, saya dapat rasa masih tak sihat dan kembali mengalami demam. Tak berpuas hati, saya sekali lagi  buat ujian darah dan kali ini didapati positif denggi," katanya.

Pelakon kacukan Inggeris-Melayu ini dilaporkan berada dalam kedaan baik dan dipantau doktor. Dia masih dirawat dan perlu banyak berehat untuk pulih sepenuhnya. 

"Saya hanya minum banyak air dan ambil makanan yang disarankan selain tahap kesihatan dipantau dari semasa ke semasa.

"Insya-Allah saya akan baik selepas ini. Doakan semoga saya cepat sembuh. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kata-kata semangat," katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2022 @ 8:29am
d