rap

'Belum dapat rezeki jodoh, tapi Allah beri rezeki lain' - Sufian Suhaimi

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga, namun akur dengan ketentuan Allah SWT yang memberi rezeki dalam pelbagai bentuk.

Sufian, 30, berkata, keinginan untuk berkahwin lebih terasa apabila rakan seperjuangan dalam bidang hiburan sudah berpasangan.

Namun, Sufian menyerahkan semuanya kepada takdir dan ketentuan-Nya.

"Mungkin ramai yang tidak tahu saya sebenarnya ada menjalin hubungan cinta selama tiga tahun tetapi kemudian putus. Cuma kami tidak menghebahkan mengenai perkara itu.

"Pada saya, Tuhan itu maha adil yang mana masing-masing ada rezeki tersendiri. Ada yang dapat rezeki berpasangan awal, cuma mungkin saya belum diberikan rezeki ke arah itu.

"Alhamdulillah, rezeki datang dalam bentuk seperti kesihatan, keluarga yang baik, perniagaan dan saya sungguh gembira dengan apa yang saya ada ketika ini.

"Kalau tanya mengenai pasangan semestinya saya terasa contohnya apabila rakan-rakan rapat seperti Haqiem Rusli, Tajul, Ariff Bahran semuanya sudah berkahwin," katanya.

Menurut Sufian, ibu bapanya juga sering menanyakan mengenai perkara itu namun tidak memberikan tekanan kepadanya.

"Semestinya keluarga ada bertanya. Mereka kata sesiapa yang saya suka beritahu saja. Mereka menyerahkan semuanya kepada saya untuk membuat keputusan. Namun, tidaklah sehingga memberikan tekanan," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, drama lakonannya yang berjudul 30 Hari Menjelang Raya arahan Suhaimi Lua kini ditayangkan di slot Diandra saluran TV9.

Selain Sufian, drama itu turut menampilkan Kazar Saisi, Liza Abdullah, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Mark Adam, Shakilla Koriri dan ramai lagi.

Disiarkan pada: April 27, 2022 @ 8:50am
d