rap

Syura maafkan, Siti Nordiana tak boleh komen

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 37, tidak boleh memberi komen berhubung tindakan penyanyi, Syura Badron, 35, yang dikatakan sudah memaafkannya di atas segala persengketaan membabitkan mereka sebelum ini.

Pengurus Nana, Anas Osman berkata, kes saman dibuat belum lagi selesai dan untuk itu Nana dinasihatkan pihak peguam supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya minta maaf bagi pihak Nana kerana buat masa sekarang dia sudah dinasihatkan peguam untuk tidak mengeluarkan sebarang komen terhadap pihak-pihak berkenaan," katanya menerusi kiriman WhatApps.

Terdahulu, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron mengeluarkan kenyataan yang dia sudah memaafkan segala persengketaan di antaranya dan Nana walaupun berdepan tuntutan saman daripada penyanyi itu.

Syura bersama empat lagi rakannya iaitu penyanyi, Lan Solo dan isterinya Nur Sheila, Pegawai Perhubungan Awam FMC Music, Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad berdepan tuntutan saman yang difailkan Nana sebanyak RM2.5 juta pada 3 Ogos tahun lalu.

Dalam saman terbabit, Nana selaku plantif menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook 'live' serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas penyanyi Lan Solo dan Syura membuat pendedahan mengejut berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Nana menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai tahun lalu.

Kes saman fitnah membabitkan Nana dengan 'lima sekawan' itu juga bakal didengar di Mahkamah Tinggi.

Disiarkan pada: May 1, 2022 @ 1:35pm
d