rap

Anita sukar terima hakikat emak, suami dah tiada

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Sekarang hanya tinggal kami empat beradik yang bergelar yatim piatu. Saya sendiri dah tiada syurga saya iaitu arwah suami dan mak," kata pelakon Anita Baharom mengulas kematian ibunya, Wirmah Pawanchee, 74, yang menghembuskan nafas terakhir di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Pelakon drama Dunia Baru dan Keluarga Iskandar ini berkata, belum pun hilang kesedihan akibat kematian suami, Ismadi Ismail, 50, pada 1 Januari lalu, dia kini diuji dengan kematian ibu pula.

"Saya dah tiada sesiapa kecuali adik-beradik dan anak-anak yang soleh. Saya rasa agak kosong juga sebenarnya.

"Sangat terasa orang-orang yang saya sayang dah tiada dengan saya. Takut nak balik rumah kerana rasa kosong serta nak berdepan hakikat suami dan mak dah tiada.

"Emak dah lama sakit sawan sejak 22 November lalu sehinggalah dia pergi semalam. Dia pergi di hari yang baik hari Jumaat bulan Syawal," katanya kepada Harian Metro.

Anita, 38, yang akan habis edah pada 10 Mei ini berkata, dia agak terkesan kerana cara pemergian ibu seakan sama seperti kematian arwah suami.

"Emak pergi dalam keadaan yang tenang ketika tidur. Kami sedang masak di dapur, namun kerap jenguk dia di bilik untuk ajar dia mengucap.

"Nak jadi cerita, saya jenguk dia dan dapati emak dah tak bernafas. Saya periksa keadaan emak dan menjerit sehingga anak buah saya masuk bilik.

"Dulu pun sama saya jumpa arwah suami dalam keadaan tak bernafas dalam tidur. Ini jumpa mak pula dalam keadaan terbaring serta tak bernafas. Memang trauma dibuatnya," katanya.

Menurutnya, Allah seakan memberi petunjuk mengenai perkara ini apabila dia berdepan perkara aneh sebelum pemergian ibunya.

"Malam sebelum dia meninggal, saya nampak mak datang dengan muka bercahaya sebelum saya lelapkan mata jam tiga pagi Khamis.

"Saya baru nak tidur dan nampak muka emak dalam keadaan senyum sangat bercahaya dan terdetik sesuatu.

Jenazah emak dimandikan, disembahyangkan serta selamat dikebumikan dekat Masjid Al Amin Sungai Layar, di Sungai Petani, Kedah jam 8 pagi ini," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2022 @ 4:29pm
d