rap

'Saya hanya insan kerdil' - Saharul Ridzwan

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Saharul Ridzwan mengaku hanya insan 'kerdil' apabila ramai pihak yang terinspirasi dengan perubahan dirinya yang semakin mendalami Islam.

Saharul berkata, segala perbuatan atau perkongsian di media sosial miliknya bukanlah berniat untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya mahu mengajak lebih ramai pengikutnya ke arah kebaikan.

"Bab ini agak sensitif untuk saya jawab tapi ramai juga yang cakap bila dah semakin dekat dengan Islam tidak semestinya kita perlu tunjuk di media sosial. Tidak kurang juga yang kata nak buat baik biarlah simpan untuk diri sendiri saja.

"Tapi saya ambil pendekatan selama 10 tahun berlakon saya selalu ajak orang ke arah hiburan dengan drama-drama saya, tapi sekarang ini saya nak gunakan kelebihan yang memiliki empat juta pengikut di Instagram untuk sesuatu yang baik.

"Kalau sebelum ini umum mengenali saya sebagai pelakon saja, tapi sekarang ini saya cuba kongsikan apa yang saya pakai, tutur, makan dan minum sebagai asbab kebaikan untuk semua yang kenal saya.

"Jadi siapa yang ikut saya itu Alhamdulillah tapi jangan sesekali sanjung sebab saya tiada apa-apa. Saya hanya orang biasa yang nak buat kebaikan untuk semua," katanya.

Menurut Saharul, dia menafikan dirinya sudah tidak aktif dalam bidang seni sebaliknya hanya memperlahankan karier lakonannya buat sementara waktu.

"Saya tak pernah mengehadkan aktiviti seni, tapi perniagaan yang saya uruskan sekarang ini yang membuatkan saya agak sibuk.

"Jadi bila dah sibuk terpaksalah saya perlahankan kerjaya saya sebagai pelakon. Insya-Allah sekejap saja. Saya tak bimbang pun jika ada yang menganggap saya mahu tinggalkan dunia seni kerana rezeki dalam bidang ini luas. Menjadi pelakon tak semestinya di TV saja, tapi ada banyak saluran lain," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2022 @ 5:21pm
d