rap

Aeril Zafrel dikecam sebab komen di Facebook Ustaz Kazim

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Aeril Zafrel menjelaskan mengenai pertanyaannya kepada penceramah bebas dan pendakwah popular, Datuk Kazim Elias di Facebook baru-baru ini yang mencipta kontroversi dan menyebabkan dia dikecam hebat netizen. 

Dalam hantarannya di Facebook, Aeril menjelaskan bahawa dia mengajukan soalan di Facebook Kazim berdasarkan pemerhatiannya mengenai penyakit kulit misteri dipercayai kesan sihir yang kelihatan seperti solekan kesan khas. 

"Ya, memang saya tahu ustaz tengah sakit kena buatan orang sekarang ini. Tapi, gambar yang ustaz muat naik, berdasarkan pemerhatian saya nampak seperti kesan solekan khas. 

"Pertanyaan saya pun berdasarkan gambar yang ustaz muat naik, bukan menidakkan ustaz sakit selama ini," tulisnya. 

Aeril juga tidak menolak bahawa sikap masyarakat terutamanya netizen hari ini yang lebih terburu-buru melemparkan kecaman. 

"Tapi, itulah. Orang kita ini pun, saya tanya saja, dah berbakul kena maki," tulisnya. 

Dalam hantaran sama, Aeril turut memuat naik komennya di Facebook Kazim serta komen balas berbentuk kecaman yang dilemparkan kepadanya. 

"'Shooting' kan ni ustaz?" soalnya dalam ruangan komen itu. 

Aeril juga turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan dengan jurusolek kesan khas yang turut menunjukkan beberapa silikon yang digunakan dalam proses solekan kesan khas. 

Terdahulu, Kazim memuat naik gambar gambar tangannya yang dikatakan mengalami masalah kulit dipercayai kesan sihir disertakan dengan keterangan meminta bantuan sesiapa yang mampu mengubati penyakit misteri dialaminya. 

"Sesiapa yang boleh tolong ubatkan saya, tolonglah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yabg menanggung. Kepada Allah saya berserah," tulisnya. 

Harian Metro semalam melaporkan penafian Kazim kononnya dia membuat gimik dan strategi pemasaran untuk filem lakonannya, Zim Zim Ala Kazim. 

 

 

Disiarkan pada: May 20, 2022 @ 11:12am
d