rap

Empat watak satu drama

Oleh Sudirman Mohd Tahir

WALAUPUN sudah mencipta nama sebagai antara pelakon terkenal dan menjadi antara nama yang sentiasa dipilih muncul dalam filem dan drama, ia bukan alasan untuk Syafiq Kyle, 29, bersikap selesa dengan kedudukan dimiliki.

Malah, Syafiq beranggapan untuk menjadi pelakon yang bagus perlu ada usaha berterusan dalam memajukan diri terutama dalam lakonan.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, kelas lakonan itu penting buat seseorang pelakon kerana ia tidak hanya membantu menjiwai watak, malah untuk membina rasa keyakinan diri dan mengurangkan masalah di lokasi penggambaran.

"Saya tidaklah bagus untuk melakonkan sesuatu watak. Disebabkan saya tidak bagus, pandai dan bijak dalam lakonan, saya kena membuat persediaan untuk bekerja dengan orang berpengalaman. Satu caranya, bukan usaha besar pun, adalah menyertai kelas. Dari situ kita dapat tahu asas dan apa yang kita nak buat sepanjang penggambaran.

"Macam saya, sehingga hari ini masih mengikuti kelas lakonan. Saya tidak terikat dengan seorang cikgu saja. Antara cikgu saya ialah seperti Aloy, Farid Ramli, Fatimah Abu Bakar, Ellie Suriati dan Ayam Farid.

"Saya tidak terikat dengan seorang cikgu saja sebab setiap cikgu mempunyai perspektif yang berbeza. Sebenarnya ramai cikgu di Malaysia yang nak ajar tapi pelajar tidak mahu belajar," katanya ketika ditemui pada majlis previu drama terbaharunya, Seribu Nina, di Dadi Cinema, di ibu kota, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai lakonannya dalam Seribu Nina, Syafiq berkata, wataknya sebagai Amar memaparkan sisi lakonan yang berbeza.

"Selalunya kita akan bawa satu saja watak dalam sesebuah naskhah, tapi menerusi Seribu Nina, orang dapat lihat saya hidupkan empat watak. Kalau nak katakan watak ini susah atau payah, tidaklah sebab ada lagi yang lebih susah tapi ini adalah satu yang berbeza daripada saya.

"Saya sendiri nak tengok apa yang saya buat dalam Seribu Nina menjadi atau tidak, kalau tak menjadi, banyak lagi yang saya perlu belajar untuk perbaiki. Sebab saya rasa kepuasan itu datang daripada kerja kita. Apabila kita dapat selesaikan sesebuah projek dan tak malu promosikan pada orang, daripada situ datangnya kepuasan," katanya.

Siri Viu Original turut dibintangi oleh Adriana Adnan dan Marsha Milan itu boleh ditonton di platform Viu bermula 19 Mei lalu.

Seribu Nina mengangkat tema mencari cinta sejati dengan jalan cerita luar biasa yang menampilkan barisan pelakon popular serta kualiti produksi yang tinggi hasil komitmen syarikat produksi Infinitus Ventures di bawah terbitan Viu Original Malaysia.

Disiarkan pada: May 22, 2022 @ 6:35am
d