rap

Ernie Zakri bahagia layan telatah 'bidadari'

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Ernie Zakri sedang belajar untuk membiasakan diri menjadi ibu kepada puteri tercintanya, Nur Khawla Soleha yang baru berusia tiga bulan.

Ernie berkata, dia juga berasa teruja apabila Khawla sudah mula memberikan respons kepadanya serta suami yang juga penyanyi Syamel.

"Saya sudah mula membayangkan nanti bakal ada kawan baik yang boleh teman saya untuk membeli-belah.

"Hari ini genap tiga bulan usia Khawla dan banyak perubahan yang kami nampak, lebih-lebih lagi dia sudah mula berinteraksi. Kadang sekecil-kecil tindak balas yang dilakukan pun sudah buat kami gembira.

"Selain aktif dengan kerjaya seni, saya juga sibuk menguruskan anak. Semuanya masih baru dan banyak perkara yang saya masih 'blur'.

"Pernah sekali bila anak menangis saya terdiam sebab tak tahu nak buat apa walhal sudah memberikan dia susu dan menukar lampinnya. Jadi banyak lagi yang perlu saya belajar untuk menjadi ibu," katanya.

Menurut Ernie, dia kini perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga memandangkan dia dan Syamel bekerja dalam bidang yang sama.

"Tidak dinafikan saya dan Syamel kerap dapat tawaran persembahan bersama. Namun Alhamdulillah ada seseorang yang menjaga Khawla di rumah kalau kami keluar bekerja.

"Saya mengupah penjaga yang dikhaskan untuk jaga Khawla saja. Jadi sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerisauan saya apabila keluar bekerja," katanya.

Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga pada 26 Mac tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata perempuan pada 22 Februari lalu.

Disiarkan pada: May 22, 2022 @ 1:20pm
d