rap

Nantikan filem Keluang Man

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Siri animasi popular tanah air sejak lebih dua dekad lalu, Keluang Man bakal diangkat ke layar perak.

Ia selepas Astro Shaw menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man. 

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk bekerjasama dengan Iconic Animation Studio dalam mengangkat karya animasi legenda itu ke pentas yang lebih besar.

"Kami percaya jenama Keluang Man amat besar dalam industri seni animasi tempatan dan mempunyai peminat tersendiri yang membesar bersama siri animasi ini. Meskipun jenama ini sudah lama disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman. 

"Kami harap berita baik ini dapat memberi keterujaan buat peminat dan sekali gus dapat membuktikan karya animasi tempatan mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Iconic Animation Studio Sdn Bhd, Muhamad Firdaus Omar berkata, jenama Keluang Man sudah bertapak dalam industri animasi lebih 26 tahun dan ia masih diingati serta diperkatakan dalam kalangan peminatnya. 

"Kami yakin ramai yang menantikan kemunculan semula animasi Keluang Man ini. Malah, perancangan untuk membawa animasi ini ke filem juga sudah lama dibuat. Alhamdulillah, akhirnya impian ini bakal terlaksana dan lebih rasa berbesar hati kerana ia bakal direalisasikan bersama penerbit terkemuka Malaysia, Astro Shaw. Jadi, nantikan kemunculan semula Keluang Man tidak lama lagi," katanya.

Keluang Man adalah siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir 90-an dan awal 2000. Siri animasi adiwira pertama tanah air ini diilhamkan oleh Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail bersama pengasas dan Pemilik UAS Animation, Natashah Md Noor dan pertama kali ditayangkan pada 1998. 

Mempunyai tujuh musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita unik yang mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi. 

Watak adiwira itu tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib istimewa tetapi dibentuk dengan ilmu persilatan, naluri dan sikap kejujuran yang tinggi. Rentetan daripada reaksi positif peminat dan penonton sejak animasi itu ditayangkan, terdapat banyak permintaan untuk mengembangkan lagi animasi kegemaran ramai ini. 

Disiarkan pada: May 24, 2022 @ 10:18am
d