rap

Ziana Zain tak tutup pintu hati

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Ziana Zain, 54, memohon doa agar diberikan yang terbaik terutama apabila menyentuh soal jodoh walaupun itu bukan keutamaannya sekarang.

Sudah empat tahun bergelar ibu tunggal, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain enggan mengatakan hatinya sudah tertutup mencari teman hidup dan tidak boleh menjangka takdir akan datang.

"Saya lebih tertumpu kepada kehidupan saya sebagai seorang ibu, penyanyi, kakak dan anak-anak saya. Apa yang terjadi di masa hadapan, kita tak tahu. 

"Saya tak berani cakap (tutup hati), sebab di masa hadapan kita tak tahu. Tapi saya mohon pada Allah agar beri yang terbaik dalam hidup saya. 

"Bila minta yang baik, Allah akan bagi dalam bentuk apa, wallahualam. Yang penting sekarang, saya nak menyanyi dan jumpa peminat," katanya. 

Ditemui pada sidang media The Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022, baru-baru ini, Ziana juga tidak pernah menerima mesej peminat yang menawarkan diri untuk menjadi pasangan hidupnya. 

Dia sendiri ambil pendekatan untuk tidak terlalu melayan mesej atau komen mengarut kerana yang mungkin hanya akan memburukkan keadaan. 

"Tak ada pun peminat tawar diri, sebab benda-benda macam ini saya tak layan. Kadang-kadang bila kita layan benda mengarut ini akan jadi berpanjangan jadi benda tak baik. 

"Jadi lebih baik kita diamkan saja dan tengok yang baik-baik saja barulah saya balas," katanya.

Ziana pernah berkahwin dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan berusia 11 hingga 20 tahun.

 

 

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Disiarkan pada: May 24, 2022 @ 10:45am
d