rap

Sophia Koshka segan lakonan dapat perhatian

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Sophia Koshka bersedia melakonkan watak gadis kampung sekiranya ditawarkan oleh mana-mana produksi.

Sophia, 27, atau nama sebenarnya Sophia Albarakbah berkata, ramai pihak melihatnya kurang sesuai melakonkan watak terbabit berikutan dirinya berdarah campuran.

"Saya sendiri mengakui wajah saya seakan kurang sesuai dengan watak gadis kampung, namun ia bergantung juga pada bentuk watak.

"Sebagai pelakon saya sentiasa terbuka untuk terima apa sahaja watak yang diberikan. Sekiranya okey saya akan ambil," katanya yang berdarah kacukan Melayu, Arab dan Cina.

Lakonan berkesan Sophia sebagai Cahaya Malaika dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa menerusi slot Samarinda TV3 baru-baru ini mendapat pujian penonton.

"Saya tidaklah popular sangat tapi dah makin ramai yang kenal sejak drama Suamiku Lelaki Pendosa. Tapi saya belum biasa sangat dan masih lagi segan dengan perhatian yang diberikan.

"Bila saya keluar ke mana-mana dan orang minta bergambar, saya tertanya-tanya betulkah orang kenal saya?

"Apapun saya gembira dan bersyukur orang meminati lakonan saya dan ia jadi pembakar semangat untuk saya terus buat yang terbaik," katanya yang kini tampil dengan drama Airmata Allisya.

Drama gandingannya dengan Keith Foo ditayangkan setiap Jumaat di TV9 bermula sejak 20 Mei lalu.

Disiarkan pada: May 25, 2022 @ 1:11pm
d