rap

Saingan positif

Oleh Syafil Syazwan Jefri

NAMA Nabila Razali tentunya tidak lagi asing buat peminat muzik dan drama tanah air memandangkan namanya kerap kali mengisi carta muzik serta televisyen tempatan.

Lagu-lagu yang disampaikan juga kerap kali tular, sekali gus menjadi siulan ramai peminat daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

Sebut sahaja judul lagu seperti Pematah Hati, Peluang Kedua dan Putus, tentunya semua akan tahu akan kehadiran lagu-lagu yang mendapat putaran kerap di radio itu.

Semakin menginjak usia kariernya, Nabila tidak menafikan bahawa masa dan waktu bergerak dengan pantas, sekali gus bilangan kehadiran penyanyi baharu juga semakin ramai.

Baginya, kehadiran mereka ini memberi impak kepada kualiti muzik tanah air, sekali gus menaikkan standard muzik tempatan ke satu tahap yang lebih baik.

"Kehadiran artis baharu ini sebenarnya satu perkembangan yang baik dan begitu positif. Saya sangat bersukacita menyambut kehadiran mereka dalam industri.

"Apa yang boleh saya katakan, kemunculan mereka ini secara tak langsung akan meninggalkan impak positif dan menaikkan standard muzik kita," katanya.

Ditanya mengenai persaingan, Nabila yakin setiap yang hadir dan berkarya dalam industri memiliki keistimewaan tersendiri.

"Lagu-lagu saya sudah melalui satu fasa dan ada karakter serta identiti sendiri. Jika dilihat, pendatang baharu ini juga memiliki keunikan tersendiri, contohnya dari sudut genre muzik yang mereka pertaruhkan," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan baharunya, Nabila kini dalam proses untuk mengeluarkan single yang diadaptasikan daripada novel kisah cintanya, Kerana Cinta Itu Ada.

"Selepas Putus, saya akan keluarkan single Kerana Cinta Itu Ada. Buat masa sekarang, saya dan pihak pengurusan mencari hero dan lokasi sesuai untuk diadaptasikan pula dalam bentuk drama.

"Wataknya adalah sebagai individu daripada keluarga Tengku, jadi ada beberapa pilihan namun saya masih mencari yang bersesuaian. Cukup sekiranya pelakon itu memberi impak menerusi karakter yang dibawakan.

"Kalau dalam fikiran saya, saya melihat sosok pelakon Shukri Yahaya sebagai pelakon yang sesuai dan saya sendiri pun pernah bekerjasama dengannya sebelum ini," katanya

.

Disiarkan pada: May 27, 2022 @ 6:30am
d