rap

Yasin banyak ubah Faizal Tahir jadi baik

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer popular, Faizal Tahir mengakui penyanyi, Yasin Sulaiman yang kini berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan mengedar ganja adalah individu yang banyak mengubahnya ke arah kebaikan.

Faizal berkata, beberapa hari sebelum Yasin ditahan, mereka sebenarnya bercadang untuk berjumpa selepas hampir setahun tidak berhubung.

"Banyak yang saya belajar daripada Yasin sepanjang kami bersahabat. Saya belajar mengenai al-Quran, tadabbur dan hal yang berkaitan dengan kehidupan.

"Kami pernah tinggal di kediaman yang sama, jadi selalu habiskan waktu berdua. Cuma apabila saya sudah berpindah, kami terus jarang bertemu," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Alah Bisa yang menampilkan rakan duet penyanyi Amira Othman di sini, semalam.

Menurut Faizal, dia ada cuba menghubungi beberapa pihak untuk mengetahui perkembangan Yasin kerana ketika ini dia sangat memerlukan sokongan rakan-rakan.

"Sudah tentulah saya cuba berhubung dengan dia tetapi tak dapat. Saya cuba hubungi peguamnya juga tidak berjaya, barangkali sibuk. Saya faham, waktu sebegini memang dia memerlukan sokongan rakan-rakan.

"Bila jadi macam ini saya sedih sebab dia adalah manusia paling baik yang pernah jumpa. Hati dia bersih, dia tak pernah buruk sangka dan sangat suka tolong orang. Kalau orang tengok saya macam ini, yang saya dah lain, nama yang saya akan naikkan adalah nama Yasin. Dia antara tiga individu teratas yang mengubah saya," katanya.

Yasin didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada 31 Mac lalu atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di kediamannya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 27, 2022 @ 12:24pm
d