rap

Adi Putra kini jutawan?

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: "Saya hanya meminjam daripada Allah," kata pelakon, Datuk Adi Putra ketika diminta mengulas mengenai satu artikel di sebuah portal yang mendedahkan dia memiliki kekayaan sebanyak AS$5 juta (RM21.9 juta).

Adi ketika ditemui di sidang media pelancaran filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa hari ini berkata, angka yang didedahkan itu tidak penting berbanding hala tuju dirinya sebagai hamba Allah.

"Angka itu diberikan orang dan boleh jadi lebih dan boleh jadi kurang. Namun, ia hanya angka dan apa yang lebih penting adalah hala tuju kita sebagai manusia dan hamba-Nya.

"Apa yang perlu kita lakukan dengan tanggapan ini adalah perspektif secara keseluruhan adalah lumrah. Kalau nak menjawab ya atau tidak, saya tidak boleh kerana saya hanya meminjam daripada-Nya saja," katanya.

Adi juga meminta supaya tidak ada pihak yang menggelarkan dia jutawan kerana dia lebih selesa bergerak di belakang tabir.

"Kalau boleh janganlah gelar saya jutawan. Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir. Saya rasa semua dapat melihat sendiri di media sosial saya.

"Ada sesetengah pihak yang menunjukkan kemewahan mereka di laman sosial, itu hak mereka. Bagi saya, saya lebih suka di belakang sebab banyak lagi urusan yang harus saya ceburi. Lakonan masih ada dan kalau berhenti, mereka rindu," katanya.

Pada masa sama, Adi juga menjelaskan mengenai perniagaan agensi pelancongan yang ditubuhkannya sejak 2013 dan masih beroperasi sehingga ke hari ini dengan membawa jemaah umrah dan haji.

"Apa yang boleh saya kongsikan, pada 2013 saya menubuhkan satu syarikat agensi pelancongan menguruskan umrah dan haji sehingga sekarang. Cuma dua tahun itu (pandemik), tutup. Tapi, Alhamdulillah dengan kita permudahkan urusan ataupun orang, Insya-Allah Allah permudahkan urusan kita, dan capaikan hajat dan niat kita.

"Itulah permulaan saya dalam bidang perniagaan. Saya banyak di belakang tabir. Saya bukan pembimbing rombongan jemaah, tetapi saya menguruskan pentadbiran agensi saya dan juga yayasan supaya setiap manusia akan sampai ke destinasi mereka untuk melaksanakan ibadah umrah. Selagi ada Kaabah, selagi itu ada pekerjaan umrah mahupun haji itu harus dilaksanakan," katanya.

Terbaharu, Adi memegang watak Mejar Adnan dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan diarahkan Zulkarnain Azhar dan Frank See.

Selain Adi, filem aksi itu juga menampilkan lakonan Aiman Hakim Redza, Nas-T, Sara Ali dan ramai lagi dan akan ditayangkan pada 25 Ogos ini.

Disiarkan pada: June 2, 2022 @ 3:15pm
d