rap

'Ada yang nak tumbuk saya' - Wan Raja

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Ada golongan wanita dan 'makcik-makcik' yang pernah komen di media sosial saya, kalau jumpa saya memang nak tumbuk saya.

"Namun situasinya berbeza pula bila dah jumpa. Semua kata seronok jumpa saya, puji lakonan saya dan siap minta bergambar lagi,".

Demikian kata pelakon Wan Raja mengulas keberkesanan watak jahat lakonannya sebagai Harris dalam drama Dendam Seorang Isteri yang menjadi perhatian peminat.

Menurutnya, selepas dikenali ada pula peminat yang cuba mengorek kisah peribadinya yang sebelum ini tidak diketahui ramai.

"Mereka nak tahu siapa Wan Raja? Dah kahwin atau belum dan sebagainya lagi. Akhirnya barulah mereka tahu saya adalah suami kepada Yaya Maembong dan abang ipar Emma Maembong.

"Kebetulan pula Yaya berlakon cerita Nusyuz Berkiblat Cinta yang agak popular bersama Emma , orang pun perasan juga berkenaan hubungan kami.

"Terus orang korek cerita peribadi keluarga kami. Terus mereka tahu anak kami yang berlakon cerita Sayang Papa Saya Tak? terbitan Suhan Movies & Trading sebelum ini. Kiranya secara tak langsung keluarga kami sudah dikenali," katanya kepada Harian Metro.

Wan Raja berkata, setakat ini dia bersyukur tiada peminat yang melampaui batas sehingga mengganggu kehidupannya bersama keluarga.

"Perkara ini tiada masalah. Tak pernah ada peminat wanita atau lelaki yang nak mengurat saya. Mungkin sebab dengan rupa dan usia saya, orang lebih hormat dengan apa yang saya buat.

"Banyak yang mesej terus di Instagram hanya puji lakonan saya dan ucap syabas. Tak lebih dari itu. Saya sebenarnya ingin nak berlakon cerita epik watak bangsawan sebab saya pun bermula dari pentas bangsawan," katanya.

Katanya, dia faham cerita begini jarang sekali dihasilkan mana-mana penerbit kerana kosnya yang tinggi. "Selain itu saya juga sukakan watak lelaki kampung seperti nelayan, petani dan cikgu di kawasan pedalaman. Saya kurang gemar watak korporat. Apapun saya nak ucap terima kasih kepada stesen TV yang berani ambil saya bawa watak yang besar dalam Dendam Seorang Isteri.

"Saya pun asalnya dari pentas dan bukannya bermula dari model yang jadi kegilaan ramai," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2022 @ 6:41pm
d