rap

Kembali 'hantui' penonton

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Bagipeminat filem seram, tentu masih ingat dengan filem berjudul Histeria yang pernah ditayangkan pada 2008.

Menampilkan jalan cerita berbeza dari kebiasaan, filem arahan James Lee itu pernah menjadi fenomena di samping terpalit kontroversi dengan babak 'berani'.

Kini, kisah itu kembali 'menghantui' penonton dalam format siri iaitu Histeria The Series.

Kali ini ia mengisahkan, sekumpulan pelajar di Sekolah Seri Fatimah dihantui misteri kematian pelajar sekolah itu sejak 10 tahun lalu.

Membariskan barisan pelakon baharu, Histeria The Series turut mengekalkan watak Murni lakonan Liyana Jasmay yang masih 'hidup' sejak misteri yang berlaku 10 tahun lalu.

Namun, Murni tidak dapat hidup dalam keadaan tenang.

Jika 10 tahun lalu, Liyana bergandingan dengan Scha Al-Yahya, Yana Samsudin, Datuk Adi Putra dan ramai lagi, kali ini dia bergandingan dengan pelakon-pelakon generasi baharu antaranya Mia Sara, Sharifah Aryana, Amelia Christie dan Serra Kamal.

Pengarah, James berkata, siri ini ada cabaran tersendiri jika dibandingkan dengan filem yang mana durasinya lebih pendek dan singkat.

"Cabaran utama adalah bagaimana untuk saya kembangkan jalan cerita siri ini. Saya perlu cipta karya yang relevan dengan waktu dan pada masa sama, perlu ada kesinambungan dengan cerita asal.

"Dalam proses itu, saya dan pasukan produksi membuat keputusan untuk membawa semula watak lakonan Liyana sebagai Murni dan Nam Ron sebagai detektif," katanya.

Sementara itu, Liyana pula berkongsi rasa besar hatinya apabila sekali lagi berpeluang bekerja di bawah arahan James.

"Saya diberitahu oleh Gaya (Penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai) bahawa mereka nak buat semula Histeria dan watak saya akan ada semula, saya pun terkejut. Dapat bekerjasama dengan James adalah satu kebanggaan buat saya.

"Saya rasa, siri ini akan menjadi satu siri yang popular kerana ia membariskan pelakon-pelakon generasi baharu yang sangat bagus dan berkualiti," katanya.

Salah seorang pelakon utamanya, Mia Sara yang memegang watak Alia berkata, dia yang juga pernah menonton filem Histeria ketika kanak-kanak dan tidak pernah menyangka bakal berpeluang untuk membintangi karya itu.

"Saya pertama kali menonton Histeria ketika berusia 10 tahun. Itu pun sebab pembantu rumah saya yang pasangkan dan saya tonton. Untuk menjayakan watak Alia, saya turut menerima bimbingan daripada pengarah dan juga pelakon-pelakon lain. Saya sangat berterima kasih kepada mereka semua," katanya.

Selain pelakon generasi baharu, Histeria The Series turut membariskan barisan pelakon senior antaranya Ziana Zain, Tony Eusoff, Arash Mohamad dan ramai lagi.

10 episod Histeria The Series akan ditayangkan di platform Astro Citra bermula Isnin ini, jam 9 malam.

Disiarkan pada: June 4, 2022 @ 6:20am
d