rap

'Tak boleh dialog panjang, cakap ialah pun, cukuplah' - Sabri Yunus

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus, 60, akan tetap berusaha menutup kelemahan pelakon baharu yang tidak memahami skrip, namun mendapat peluang bekerja dengannya.

Sabri ketika ditemui baru-baru ini, berkata, dia memang ada pengalaman berhadapan pelakon baharu yang boleh menghafal skrip saja, tetapi tidak memahami jalan ceritanya.

"Sebagai pelakon terutama bakat baharu, sebenarnya skrip yang diterima itu tidak boleh dihafal saja tanpa harus memahaminya. Dalam lakonan, amat penting untuk faham skrip dan jalan cerita yang ditulis.

"Bagaimanapun, selaku pengarah apabila saya dah terima seseorang pelakon baharu itu, maknanya, saya juga reda bekerja dengan dia kerana tugas pengarah memang perlu menutup kelemahan," jelasnya.

Menurut Sabri, menutup kelemahan pelakon wajar dilakukan oleh pengarah kerana ia salah satu daripada tanggungjawab.

Katanya, hendak tak nak, kena buat juga untuk diri sendiri dan produk yang dihasilkan.

"Kita (pengarah) mesti tutup kelemahan dia (pelakon baharu) kerana secara tidak langsung kita juga sebenarnya menutup kelemahan sendiri. Jadi, ia lebih baik dan sebab itu saya juga suka tulis dialog pada skrip ketika 'shooting'.

"Ini kerana, di saat-saat akhir kita boleh ubah dialog itu bila-bila masa saja apabila kita juga pasti dia (pelakon baharu) tidak boleh nak 'deliver' dan tak boleh nak memahaminya. Tapi, kita kena tolong juga.

"Paling tidak pun, kita potong semua dialong itu dan dia hanya cakap 'ialah' saja dah cukuplah, kerana hanya menyebut perkataan 'ialah' itu lebih nampakkan dia cerdik daripada kita beri dialog yang panjang," katanya lagi.

Menurut Sabri, situasi sebegitu memang akan dilakukannya apabila terpaksa berbuat begitu.

Katanya, untuk membantu pelakon yang lemah juga dia perlu peka karakter individu berkenaan.

"Saya pernah menukar skrip di saat akhir dengan menjadikan watak pelakon itu seorang yang 'blur' kerana dia lemah sangat nak hafal dialog. Dia (pelakon) boleh menghafal, tetapi saya lihat macam susah.

"Jadi, dengan cara menukar pembawaan karakter itu saja yang saya dapat membantu dia, maka saya buat. Ini kerana, kerja akan lancar, dia pun dapat beri kerjasama dan produk juga berhasil," katanya.

Sabri yang meledak menerusi drama Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti sebelum ini, akan tampil dengan drama baharu, Bukan Pi Mai Pi Mai tidak lama lagi yang menghimpunkan semula barisan pelakon sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Katanya lagi, barisan pelakon saja yang sama seperti dia, Imuda, Mat Over, Angeline Tan, Sathiya dan Khatijah Tan. Manakala, ujarnya, jalan cerita memang tidak sama termasuk nama watak-watak juga ditukar berikutan era yang sudah berubah dan juga faktor usia masing-masing.

Disiarkan pada: June 5, 2022 @ 1:05pm
d