rap

PU Riz, Lofa rancang ke Madinah sejak awal kahwin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya cakap nak pergi sambung belajar di Madinah dan bawa dia (Lofa) dan anak sekali. Dia setuju."

Demikian kata pendakwah bebas yang juga selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 27, mengenai perancangannya ke Madinah, Arab Saudi bagi tujuan menyambung pelajaran.

Riz berkata, di sana isterinya juga selebriti terkenal Neelofa bakal mengikuti Markaz Lughah yang memberi fokus pada pengajian bahasa Arab.

"Sebenarnya perancangan nak ke sana dibuat masa awal-awal berkahwin. Cuma apabila isteri hamil jadi kena ubah perancangan. Alhamdulillah, sekarang anak sudah lahir dan sihat, jadi nak tunggu dia besar sikit lagi. Kiranya, dalam lima ke enam lagi ke Madinah. Mungkin paling cepat pun awal tahun depan. 

"Insya-Allah saya sambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti Madinah. Tapi program pengajian belum ditetapkan lagi. Maksimum dua tahun di sana. Apa yang membolehkan saya sambung di sana kerana semasa belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terdapat 10 subjek dalam bahasa Arab.

"Dalam masa sama, di sana isteri akan mengikuti pengajian Markaz Lughah yang mana dia fokus bahasa Arab saja iaitu bahagian al Hiwar, macam mana nak bercakap harian. Jadi, kalau balik Malaysia nanti dia sudah boleh bercakap dalam bahasa Arab," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Riz, isterinya juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap bahasa Arab.

"Isteri sekarang bacaan al-Quran bertambah baik. Ia juga atas dorongan saya selain dia sendiri pun jenis nak ikut, alhamdulillah baguslah. 

"Kebetulan saya ada ramai kawan Arab di sini. Setiap kali mereka menghubungi saya dan kami bercakap dalam bahasa Arab. Dari situ timbul minat dia nak belajar setiap kali dengan saya bercakap bahasa Arab. Kalau pandai cakap, insya-Allah baca al-Quran pun sedap sikit. Dia pun boleh faham kalau kita cakap," katanya.

Terdahulu, Neelofa Menerusi program Nona yang disiarkan di TV3, semalam, berkongsi hasratnya untuk mengikut suami yang ingin melanjutkan pelajaran ke tanah Arab selain ingin mendedahkan anaknya, Muhammad Bilal kepada persekitaran baharu. 

Disiarkan pada: June 6, 2022 @ 12:42pm
d