rap

Harris Annuar, Asha Merican kini suami isteri

Oleh Najiy Jefri

 

Shah Alam: Pelakon, Harris Annuar selamat mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan model, Asha Merican pada jam 4 petang di Magica Hall, di sini, semalam. 

Harris ketika dihubungi berkata, selepas empat tahun menyulam asmara dia nekad memperisterikan Asha.

"Alhamdulillah dengan sekali lafaz, saya sah bergelar suami kepada Asha. Sebenarnya kami sudah bercinta hampir empat tahun tapi memilih untuk merahsiakan hubungan ini.

"Sepanjang perkenalan kami kunci rapat mengenai status hubungan kepada orang luar. Hanya keluarga kedua belah pihak dan rakan-rakan rapat saja yang tahu.

"Kami tidak pernah bertunang, cuma ada ke rumah keluarga Asha untuk merisik,"katanya kepada Harian Metro.

Pada majlis terbabit, Harris menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,001 kepada Asha beserta lima dulang hantaran, manakala pihak Asha membalas dengan tujuh dulang.

Majlis pernikahan itu disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak serta rakan selebriti antaranya Hun Haqeem dan Safwan Nazri.

Menurut Harris, Asha memiliki keperibadian yang hampir sama dengan ibu tercintanya yang juga usahawan popular Zaiton Hassan atau lebih mesra disapa Kak Ton.

"Asha memiliki sisi yang menghiburkan berbanding saya yang pendiam. Jadi bila ada isteri yang ceria dan periang saya rasa seronok.

"Rasanya ramai juga yang tahu saya seorang yang agak sensitif dan mudah menangis. Orang kata suka layan perasaan.

"Jadi, bila ada Asha dalam hidup sekurang-kurangnya dapat menjadi penyeri selain dia memiliki perangai yang lebih kurang sama dengan mummy," katanya.

Dalam pada itu, Harris bakal mengadakan majlis resepsi di lokasi sama malam ini.

Disiarkan pada: June 12, 2022 @ 8:00am
d