rap

Adibah penghibur penuh kasih sayang, disenangi semua

Kuala Lumpur: Pelakon Namron, 52, berkongsi rasa duka dengan berita pemergian penyanyi dan pelakon, Adibah Noor, 52, yang disifatkan kehilangan cukup besar.

Namron atau nama sebenar Shahili Abdan berkata, dia mengetahui berita Adibah menghidap kanser sejak beberapa bulan lalu dan sempat berlakon dengannya.

"Bulan Februari lalu, kami berlakon bersama dalam filem Eraser sebagai suami dan isteri. Bulan lepas, Datuk Zainal Abidin memberitahu saya yang Adibah disahkan mengidap kanser dan sudah selamat menjalani pembedahan pada Ramadan lalu.

"Sebenar tadi saya mendapat berita menyedihkan dia sudah kembali mengadap ilahi. Kita kehilangan seorang penghibur penuh kasih sayang dan disenangi oleh semua yang pernah berkerja bersamanya," katanya.

Bagi Namron, pemergiannya pasti dirindui ramai kerana Adibah tiada galang gantinya dalam industri hiburan tanah air.

"Kehilangan yang takkan ada penganti. Innalilahiwainnalillahirojiun semoga beliau tenang di sana," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Adibah Noor meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Ampang sekitar jam 6.30 petang tadi akibat kanser ovari tahap empat.

Berita duka dan mengejutkan itu disahkan oleh rakan artis, Datin Emylia Rosnaida yang juga isteri kepada Datuk AC Mizal di laman Facebook miliknya.

 

Berita berkaitan:

  • 'Ani Maiyuni pegang amanah Adibah untuk tidak hebohkan pada orang'
  • Disiarkan pada: June 18, 2022 @ 10:15pm
    d