rap

Adibah hanya maklumkan dirinya sakit beberapa bulan lalu - Abang

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Adik saya (Allahyarham Adibah) memberitahu kami dia sakit pun, lambat. Dia baharu cakap beberapa bulan yang lalu kerana dia sendiri tahu dirinya sakit pun sudah terlambat."

Demikian kata abang Allahyarham penyanyi Adibah Noor yang hanya mahu dikenali sebagai Bang Ngah atau Angah mengenai keadaan adiknya yang menghidap penyakit kanser ovari tahap empat sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di sini, pada petang semalam.

Angah berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai penyakit yang dihidapi Allahyarham beberapa bulan yang lalu.

"Rawatan dan pembedahannya sudah lancar tapi rezeki dia sudah begitu, kita pun tak tahu.

"Baru-baru ini kami ada keluar makan bersama, dia boleh berjalan, makan dan sebagainya. Pada Khamis lalu, kami diberitahu dia menjalankan kemoterapi 'ciccle' keenam atau ketujuh, saya tak pasti. Dos diberikan pun lebih sedikit untuk membuang sel-sel kanser tersebut.

"Jadi mungkin dos itu terlalu kuat untuk dia. Tapi saya tak pasti, itu kena tanya doktor," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keperibadian adiknya, Angah berkata Allahyarham seorang yang peramah dan mesra dengan semua anak saudara dan saudara mara.

"Dengan anak-anak buah pun dia baik. Dia ada berpesan pada mereka untuk belajar baik-baik," katanya.

Dalam masa sama, Angah berkata dia akan berbincang dengan keluarga mengenai nasib 30 kucing peliharaan Allahyarham.

"Kita belum fikir lagi soal kucing sebab nak selesaikan urusan jenazah ini dulu. Mungkin selepas kami jumpa kawan-kawannya untuk uruskan perkara itu. Tak silap saya, kucing peliharaannya ada dalam 30 ekor," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2022 @ 3:04pm
d