rap

'Kak Dib memang 'top up' banyak untuk kami' - Jefri El'Mansoor

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya balas macam biasa saja mesej peribadi (DM) Kak Dib (Allahyarham Adibah Noor). Tapi saya tidak boleh beritahu jumlah yang Kak Dib berikan. Bagi saya agak besar nilainya."

Demikian kata pengguna akaun Twitter Jefri El'Mansor, 33, yang berkongsi ciapan dan paparan skrin Allahyarham penyanyi Adibah Noor ada membantu keluarganya dari segi kewangan pada Julai tahun lalu.

Jefri ketika dihubungi berkata, dia terkejut apabila mendapat DM daripada Adibah Noor.

"Terkejutlah juga sebab kami tak saling mengikuti di Twitter pun. Saya buat ciapan itu ketika musim pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya memang 'jobless (tiada pekerjaan) masa tu sebab saya kerja dalam bidang perkahwinan.

"Saya Tweet pada 25 Julai tahun lalu, arwah DM keesokan harinya. Arwah juga beritahu tak boleh nak bantu hari ini sebab sudah buat pemindahan maksimum. Ini bermakna arwah sudah bantu orang lain dulu sebelum kami," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jefri, dia menangis apabila membaca perkhabaran penyanyi lagu Terlalu Istimewa meninggal dunia, kelmarin.

"Pada mulanya kawan yang beritahu. Terus rasa terkejut, macam betulkah? Apabila saya buka Twitter, ya betul dah meninggal. Masa tu terus mengalir air mata. Saya cakap kepada isteri dan kami bersedih atas kehilangan arwah," katanya.

Jefri yang juga bapa kepada seorang cahaya mata lelaki berusia setahun enam bulan bersyukur apabila kerjayanya kini semakin stabil.

Terdahulu, ciapan Jefri El'Mansor yang berkongsi mengenai Allahyarham Adibah pernah membantu keluarganya dari segi kewangan pada 2021 mendapat perhatian warganet.

"Sorry anakku, ayah terpaksa pakai duit raya kamu untuk beli susu dan lampin," ciap pengguna itu.

Ciapan itu mendapat perhatian Adibah dengan membalas secara DM.

"Salam. Izinkan saya bantu 'top up' balik duit raya anak encik. 'Please let me know how much and your account number'. Jangan segan k," balas Adibah.

Disiarkan pada: June 20, 2022 @ 12:51pm
d