rap

Tiara Jacquelina bersengkang mata demi karya terbaik

Oleh Georgie Joseph

Petaling Jaya: Pengarah Puan Sri Tiara Jacquelina atau Tiara, 55, bersengkang mata memastikan video keselamatan baharu Malaysia Airlines (MAS) berjudul Satu Dua Tiga, Go disempurnakan dengan begitu cemerlang.

Disebabkan video itu produk sulung arahannya, Tiara inginkan hasilnya akan diingati serta memberi kesan apalagi MAS bukannya klien calang-calang.

"Untuk memikirkan konsepnya saja sudah memakan lebih tiga bulan. Jadual penggambarannya pula cukup padat iaitu empat hari dan pasca produksi masih lagi berjalan selama lebih dua bulan bermula Ramadan lalu.

"Tekanan itu pasti ada kerana video terbabit adalah tayangan global dan merangkumi keseluruhan jenama MAS. Mujur, saya mendapat bantuan Datuk Yusry Abdul Halim daripada segi teknikal sepanjang proses produksi.

"Saya memang teruja sangat dan berbesar-hati mendapat peluang keemasan daripada MAS itu. Memandangkan ia pengarahan sulung saya, segalanya perlu dilaksanakan pada tahap luar biasa terutama hasil akhirnya," kata pengarah The Enfiniti Creative Universe itu.

Semalam, Enfiniti bersama MAS melancarkan video keselamatan berdurasi enam minit terbabit yang dibintangi ramai figura gah tempatan.

Video keselamatan berkonsepkan muzikal itu akan digunakan MAS bermula Ogos nanti.

Menurut Tiara, konsep yang disuntik adalah semangat bermuafakat rakyat Malaysia selain sekadar tampilkan kebudayaan tempatan semata-mata.

"Mulanya kami mahukan video yang melambangkan budaya Malaysia. Tapi kemudian konsep itu dikembangkan dengan menggambarkan semangat Malaysia sebagai satu negara.

"Disebabkan itu, terdapat ramai figura besar dari pelbagai latar belakang tampil dalam video terbabit. Saya bertuah, mereka sangat bersungguh sepanjang terbabit kerana sama-sama mahukan hasil terbaik," katanya.

Menampilkan lebih 150 kru serta pelakon, video keselamatan terbabit turut mengangkat industri seni persembahan dengan penampilan bakat-bakat bidang berkenaan.

Antara nama besar yang membintanginya pula termasuk Tiara dan Yusry sendiri, Datin Lisa Surihani, Diana Danielle, gimnas Farah Ann Hadi, pereka fesyen Syomir Izwa Gupta, ahli fizik Tan Sri Mazlan Othman, Azman Naim, dan Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James.

Tidak ketinggalan, penyanyi rap Arabyrd, ikon kemanusiaan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Sangeeta Krishnasamy, usahawan Maple Loo, penyanyi jazz Ida Mariana, pelakon Ola Bola The Musical, serta kru kabin MAS sendiri.

Disiarkan pada: June 22, 2022 @ 12:24pm
d