rap

Erra Fazira ucap tahniah buat Shahir Zawawi

Oleh Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: "Saya ada menghubunginya sebaik saja menerima perkhabaran gembira itu. Saya mengucapkan tahniah kepadanya," kata penyanyi dan pelakon, Erra Fazira, 48, mengenai berita sahabatnya yang juga penyanyi, Shahir Zawawi yang bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.

Erra berkata, dia masih mengekalkan hubungan baik dan berkomunikasi dari semasa ke semasa dengan bekas kekasihnya itu.

Erra berkata, dia juga yakin Shahir sendiri sudah bersedia untuk melayari alam rumah tangga.

"Semestinya saya teruja dan gembira apabila terbaca berita gembira itu. Lantas saya terus menanyakan kepadanya dan dia menceritakan sepenuhnya kepada saya.

"Saya masih mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan lama, yang mana biarpun tidak berjodoh, namun tidak bermasam muka. Apabila mendengar khabar baik mereka, semestinya kita turut gembira," katanya. 

Biarpun tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hubungan cintanya, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek mengakui rapat dan baik dengan Shahir sebelum ini. 

Sementara itu, Erra sekali lagi bakal berganding dengan Datuk Awie dalam Showcase Awie Romantika yang bakal berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Ogos ini.

Sebelum ini konsert berkenaan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam. 

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 7:45am
d