rap

Pembantu rumah Ezzaty Abdullah cuba lari, tinggalkan dua anak pelakon itu

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pembantu rumah wanita warga Indonesia pelakon, Ezzaty Abdullah, 32, membuat cubaan melarikan diri dan didakwa ingin mengikut lelaki warga tempatan.

Ezzaty berkata, lebih malang apabila pembantu rumah berusia 30 tahun itu melarikan diri dengan meninggalkan dua anak kecilnya masing-masing berusia empat tahun dan empat bulan.

"Saya dan suami baru sebulan ambil pembantu rumah ini. Bayar kepada agensi sudahlah mahal. Ambil pun sebab kebetulan kami terbabit dengan penggambaran. Jadi, nak kena tolong jaga anak dan bantu apa yang patut di rumah.

"Dari awal dia bekerja saya tak ambil telefon bimbit sebab bagi saya ia adalah keperluan masa kini. Lagipun dia ibu tunggal dan ada dua anak di kampung. Jadi, bolehlah dia berhubung dengan keluarganya di sana. Namun, dua hari lalu dia ada beritahu saya yang mana seorang lelaki ada menawarkannya kerja di restoran dengan gaji RM3,000. Saya cakap jangan cepat percaya takut nanti kena jual dan kerja yang bukan-bukan. 

"Disebabkan bimbang dia terpengaruh dengan lelaki itu, saya ambil telefon miliknya. Tidak sangka pula, jam 10 pagi tadi saya tengok kamera litar tertutup (CCTV) di rumah dia nekad melarikan diri dan meninggalkan dua anak saya," katanya kepada Harian Metro.

Ezzaty yang ditemui di lokasi penggambaran siri Liar bagi tayangan Astro Citra di sini, hari ini, berkata, suaminya juga pelakon Azwan Kombos bergegas pulang ke rumah.

"Kebetulan di rumah ada kerja pengubahsuaian dapur, jadi saya minta pekerja kontraktor itu tengokkan sebentar anak saya sementara suami sampai ke rumah. Saya pula tak boleh nak pulang sebab hari ini ada banyak babak. Saya di lokasi pun jadi tak tentu arah sebab memikirkan anak. Serabut juga dibuatnya.

"Tapi pembantu itu dapat ditangkap tidak jauh dari kawasan perumahan dengan bantuan jiran yang prihatin. Malah mereka juga yang maklumkan perkara ini kepada saya. Sekarang dia sudah di rumah. Insya-Allah, esok saya akan pulangkan semula dia kepada agensi dan minta pengganti," katanya.

Menurut Ezzaty, insiden terbabit adalah yang kedua dilalui selepas yang pertama beberapa bulan lalu juga membabitkan pembantu rumah warga Indonesia.

Menerusi siri Liar arahan Jason Chong dan Imri Nasution, Ezzaty melakonkan watak Kat Sulaiman iaitu kakak kepada Lara Sulaiman (lakonan Tiz Zaqyah).

Siri sebanyak 12 episod terbitan  Double Vision Sdn Bhd yang dipersembahkan oleh Astro Shaw menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Tony Eusoff, Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Raja, Nadiyah Nisaa, Atilia Haron, Nazrief Nazri dan ramai lagi.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 3:17pm
d