rap

Pak Nil berjaya kutip lebih RM100,000 untuk bantu Zamani

Kuala Lumpur: Dalam tempoh lebih 24 jam, dana yang diusahakan Datuk Aznil Nawawi, 59, bagi membantu membiayai kos pembedahan tulang belakang penyanyi, Zamani yang menderita penyakit tulang belakang atau skoliosis berjaya mengumpul lebih RM100,000 hasil sumbangan orang ramai.

Aznil atau Pak Nil yang memulakan kutipan itu semalam berjaya mengutip kira-kira RM51,000 sehingga jam 12 malam tadi. 

Dan, sehingga jam 7 pagi hari ini, kutipan itu mencecah RM100,000 seperti diumumkan Aznil di Instagram Story. 

"Tabung bantuan untuk Zamani dah Pak Nil tutup ya guys. Itu adalah jumlah penuh yang dapat dikutip. Memang di luar jangkaan, memang ramai yang sayangkn Zamani.

"Semoga Allah balas kebaikan korang dengan rezeki yang berlipat kali ganda. Dan semoga dengan bantuan ini, Zamani dapat disembuhkan. Amin," tulisnya di Instagram Story sambil mendedahkan jumlah sebenar kutipan sebanyak RM101,103.84. 

Sementara itu, Zamani menerusi Instagram Story bersyukur atas usaha Aznil dan bantuan orang ramai yang prihatin itu. 

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 5:29pm
d