rap

Watak Erra buat Trisha dikecam hebat

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon baharu dikenali Trisha Oii, 22, akur apabila sudah mula menerima kecaman netizen di Twitter untuk watak Erra lakonannya yang bercita-cita merampas suami orang dalam drama Risik Pada Hati yang kini disiarkan slot Akasia TV3.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Oii berkata, dia sudah mula menerima kecaman netizen sejak hari pertama drama itu disiarkan pada 27 Jun lalu berikutan sikap Erra itu yang antagonis, menyakitkan hati dan tak tahu malu.

"Saya okey saja apabila tahu dikecam netizen kerana watak Erra berkenaan. Memang sepatutnya pun dikecam sebab 'psiko' sangat dan nekad pula nak rampas suami orang. Apapun, saya mampu bersyukur saja bila tengok ada orang kecam di Twitter, tapi itu hanya lakonan semata-mata.

"Realitinya, saya memang tak mahu terkait bercinta dengan suami orang pun. Minta Allah lindungi saya dan jauhkannya. Untuk lakonan saja, okeylah jadi 'perampas', tapi bukan betul-betul ya sebab saya tak rela," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga mengenai sekiranya didekati lelaki kaya dan berpangkat, Trisha berkata itu bukan keutamaan dirinya menceburi karier seni lakon.

Katanya dia aktif berlakon kerana minat sejak 2016 lalu yang bermula di belakang tabir sebagai pelakon lagak ngeri wanita.

"Saya ini wanita kasar dan lasak. Malah, dapat rezeki sebagai pelakon drama ini pun masih baharu pada 2020 lalu. Jadi, perjalanan saya dalam karier lakonan ini masih jauh lagi. Apapun, berkaitan soal jodoh biarlah Allah tentukan. Saya tidak berani untuk kata tak nak sekeras-kerasnya kerana takdir, tiada siapa yang tahu.

"Saya juga tak mahu bercakap besar kerana bimbang terjerat kata-kata yang memakan diri. Apatah lagi, pada kalangan saudara-mara saya pun ada yang berkahwin dengan lelaki kaya dan suami orang sebagai isteri kedua. Jadi, pada saya semua ini bergantung jodoh dan takdir hidup seseorang itu," katanya.

Menerusi drama Risik Pada Hati, Trisha bergandingan bersama penghibur versatil, Ifa Raziah sebagai ibunya yang sama-sama 'jahat'. Selain Ifa, barisan pelakon lain ialah Alif Satar, Ummi Nazeera, Zara Zya, Shiqin Kamal, Izzue Islam dan ramai lagi.

Drama lain pernah dibintangi Trisha sebelum ini pula ialah Kerana Dia Suka, Rindu Darul Iman dan Bukan Teman Streotaip selain satu filem berjudul Jannah.

Disiarkan pada: June 30, 2022 @ 1:45pm
d