rap

Neelofa puji ketabahan Puteri Sarah

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pengacara dan selebriti popular Noor Neelofa menyifatkan situasi yang menimpa pelakon, Puteri Sarah Liyana sebagai suatu perkara yang melampau.

Neelofa atau pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor buntu sehingga tidak tahu perkataan sesuai untuk dinasihatkan kepada Puteri Sarah.

"Kami ada banyak berborak mengenai situasi yang menimpa Puteri Sarah. Sehingga ke satu tahap saya seperti hilang kata-kata apa yang hendak dicakapkan kepadanya.

"Ini kerana apa yang berlaku terlalu teruk apa yang dilakukan oleh pihak ketiga kepada awak.

"Masa tu orang ramai tak tahu lagi, saya sendiri tak sanggup nak hadam apatah lagi awak yang kena lalui. Memang awak seorang yang terlalu sabar dan kuat," kata Neelofa.

Isteri kepada pendakwah Haris Ismail atau PU Riz itu berkata demikian menerusi ruang komen di perkongsian terbaharu Puteri Sarah di Instagram miliknya.

Sebagai wanita yang sudah bergelar ibu kepada seorang cahaya mata, Neelofa turut terkesan dengan situasi 'penyondol' dalam rumah tangga Puteri Sarah.

Malah, pengacara berusia 33 tahun itu berkata dia sendiri tidak sanggup untuk berdepan dengan masalah itu namun memuji Puteri Sarah yang tetap bersabar dan kuat.

"Kita borak banyak tentang hal ini. Sampai satu masa, saya dah tak tahu nak kongsi nasihat apa.

"Sebab terlalu teruk pihak ketiga punya buli dia terhadap awak," katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah memuat naik video temu bual dia bersama media ketika memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap pihak ketiga iaitu Ira Kazar.

Bukan sekadar didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Syamsul, Ira juga dikatakan mengganggu kehidupan Sarah sendiri dengan menghantar pelbagai ugutan melalui pesanan di sosial media.

Sarah melalui peguamnya menfailkan saman terhadap Ira di mahkamah sivil pada 26 Jun lalu dan wanita tersebut sudah menerima surat arahan supaya menghentikan sebarang bentuk gangguan dua hari kemudian.

Dalam tuntutan yang dibuat itu, Sarah mahu Ira tampil memohon maaf dan menghentikan gangguan siber yang sudah berlarutan selama empat tahun terhadapnya.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 5:54pm
d