rap

Ain Edruce sesuai dengan 'DNA' Melodi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon, Ain Edruce dipilih sebagai pengacara program Melodi yang baharu bagi menggantikan Nabila Huda bermula hari ini.

Penerbit Melodi, Michelle Wee berkata, pemilihan Ain adalah sesuai dengan 'DNA' program hiburan popular itu selain mudah memberikan kerjasama.

"Ain memulakan tugas sebagai pengacara Melodi hari ini. Buat masa sekarang, memang Ain seorang saja pengacara, tapi setiap minggu kami akan menampilkan artis jemputan sekali gus menjadi rakan pengacara. Sama ada selepas ini kita akan menggandingkan Ain dengan pengacara lain atau kekal dengan konsep sebegini, segalanya bergantung kepada kesesuaian dan perbincangan bersama pihak pengurusan.

"Pemilihan Ain sesuai dengan program ini. Dia juga menepati cita rasa penonton selain mempunyai 'followers' yang besar. Lagipun, sebelum ini Ain pernah menjadi hos program MBuzz Melodi dan beberapa program terbitan TV3 yang lain. Dalam masa sama, banyak klien sukakan Ain juga. 

"Selepas episod pertama penampilan Ain dengan Melodi hari ini, saya dan pasukan produksi berpuas hati. Begitu juga dengan pengurusan. Dia sudah menyelesaikan tanggungjawab sebagai pengacara solo dengan baik. Dia bagi 'all out'. Tidak ada apa-apa kesilapan daripada dia. Dia juga boleh terima arahan pada saat akhir. Pendek kata, dia sangat senang bekerjasama, tak banyak kerenah dan cepat belajar," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai rungutan segelintir penonton dan netizen yang berpandangan gaya pengacaraan Ain 'membingitkan' berdasarkan persembahan pada program lain sebelum ini, Michelle berkata, dia ambil maklum perkara itu.

"Setiap penonton ada pendapat masing-masing. Ada yang nak ceria, 'loud' dan menceriakan Ahad mereka. Jadi, perkara ini sangat subjektif. Kemunculan Akn dalam Melodi sebagai medium pengacara yang menyampaikan. Sudah tentu ada masa kena 'loud', 'tone down', 'gila-gila' dan serius. Semua ini kita akan 'guide'.

"Apa pun, kena dengar pendapat majoriti juga. Kadang-kadang pandangan netizen tak boleh jangka. Contohnya hari ini, dia sudah kurang bingit, cuma ada masa terlepas. Saya dah beritahu setiap minggu kena tengok semula persembahan dan perbaiki. 

"Ain pun jenis terbuka dan terima pendapat. Kalau netizen tak suka bingit tu, jadi dia kena perbaikilah. Macam dulu pun ada juga hos Melodi yang bingit, tapi tak semua. Saya melihat, Ain ini pelapis kepada pengacara sebelum ini. Dia tak 'fake'. Di depan dan belakang kamera dia sama saja. Apa pun, bagi peluang kepada Ain," katanya.

Terdahulu, pelakon Nabila Huda mengumumkan khidmatnya sebagai pengacara program Melodi berakhir pada 26 Jun lalu.

Disiarkan pada: July 3, 2022 @ 10:08pm
d