rap

Mat Kilau dah 'cantas' Munafik 2

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) terus mencetus fenomena apabila mencatat kutipan RM47 juta dalam tempoh 11 hari saja sekali gus memecah rekod filem Munafik 2 yang mencatat kutipan RM48 juta dalam tempoh lebih sebulan tayangan pada 2018.

Syamsul Yusof yang juga pengarah kedua-dua filem itu ketika dihubungi berkata, dia amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepadarakyat Malaysia merangkumi orang Melayu, Cina, India dan lain-lain yang sudah menyokong filemnya di pawagam sekali gus mencetuskan fenomena.

"Masyarakat Cina dan India juga menonton filem saya dan masih mempercayai dengan sentuhan saya sejak filem pertama dulu sampai sekarang (Mat Kilau) iaitu filem yang ke-12 ini," katanya kepada Harian Metro.

Syamsul berkata, dengan rendah diri dia bersama pasukan produksi filem Mat Kilau mengucapkan terima kasih dan mereka juga akan terus menghasilkan filem yang menepati cita rasa penonton dan mengangkat jati diri serta bangsa.

Syamsul berkata, dia juga bersyukur apabila salah satu objektifnya untuk mengangkat seni silat dalam filem itu berjaya.

"Sekarang kita dapat tahu kelas-kelas silat dan Persatuan Seni Silat Gayung, Persatuan Seni Silat Cekak menerima banyak penyertaan serta semakin ramai orang sudah menghargai seni silat.

"Bukan hanya golongan dewasa, tetapi kanak-kanak juga sudah meminati silat. Saya amat bersyukur kerana kejayaan luar biasa filem Mat Kilau yang mencetuskan fenomena ini berlaku di atas izin Allah juga. Alhamdullah, saya amat-amat bersyukur," katanya.

Dalam pada itu, Syamsul enggan mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak berhubung tayangan filem terbitan Marvel Studios, Thor : Love And Thunder yang ditunda dari 7 Julai ke 21 Julai ini disebabkan sambutan hangat Mat Kilau.

"Saya tak nak komen apa-apa. Biarlah penonton rakyat Malaysia memilih filem pilihan mereka sendiri yang menepati cita rasa mereka. Saya hanya pengkarya yang cuba menghasilkan karya semampu yang boleh," katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2022 @ 4:39pm
d