rap

Kemelut rumah tangga, ujian berat Syamsul Yusof

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof mengakui dia juga berhadapan tekanan berat berikutan isu rumah tangganya yang hangat diperkatakan ketika ini dan menjadi perhatian ramai.

Syamsul, 38, ditemui baru-baru ini berkata, sebagai manusia biasa, dia juga tidak mampu mengelak tekanan menerjah dirinya apalagi bila ia membabitkan kemelut rumah tangga dan keluarganya.

"Gila, saya tak stres? Apa yang saya lalui ini (hal rumah tangga) cukup berat. Memang saya stres. Ketika buat 'editing' filem Mat Kilau dan Munafik 2 pun, saya boleh menangis, inikan pula hal rumah tangga sendiri.

"Tapi, saya selalu bangkitkan semangat saya semula. Saya sentiasa kata tak apa, tak apa, insyaAllah. Dan, saya seketika fikirkan juga kejayaan yang sudah saya kecapi dan selalu menghargainya.

"Apapun, saya sentiasa rasa bersyukur dengan rezeki Allah ini. Sebab saya tahu, 'it comes with a price'. Jadi, ujian kau pun besar lah," katanya kepada Harian Metro ketika menjawab pertanyaan dirinya yang dilihat cukup tenang walaupun berhadapan masalah rumah tangga.

Syamsul berkata, bagaimanapun dia tetap kena kuat, kena bijak dan tidak boleh pandang perkara negatif semata-mata dan kena pandang apa yang baik juga.

"Meskipun saya dah dapat rasakan filem Mat Kilau ini akan 'success' meletop, tapi masalah saya bukan selesai pun. Tak ada. Duit bukan segalanya. Ini semua proses perjalanan hidup dan saya layankan saja perlahan-lahan," katanya.

Ditanya juga apakah yang menjadi pemangkin semangatnya untuk kelihatan tenang dalam mengharungi ujian hidupnya itu, Syamsul berkata, mungkin ia datangnya daripada doa ibu bapanya.

"Semangat ini mungkin daripada doa ibu, doa bapa saya dan mungkin juga dari pelbagai dugaan yang pernah saya lalui sebelum ini. Saya pun dah hadapi ujian yang banyak, antaranya filem KL Gangster 2 yang bocor dulu. Banyak lagi benda yang orang tak tahu, family.

"Tapi, apabila dah ditimpa ujian-ujian yang berat ini, apakah kau akan 'surrender' atau kena jadi kuat, ia kena pilih dan saya juga sebenarnya hampir-hampir (tewas). Tapi, entahlah kalau cakap lebih-lebih macam ustaz pula," katanya. 

Terdahulu, kisah kemelut rumah tangga Syamsul dan isterinya yang juga pelakon Puteri Sarah didakwa berantakan kerana kehadiran orang ketiga dan atas sebab itu, mereka turut dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung lagi.

Puteri Sarah juga baru-baru ini nekad memfailkan satu tindakan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berserta dua aduan di pejabat agama terhadap seorang wanita dikenali Ira Kazar.

Pasangan Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah kini berusia 3 tahun.

 

Disiarkan pada: July 7, 2022 @ 8:55pm
d