rap

Zamani belum ambil wang RM100,000, buat persediaan jalani rawatan di hospital

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengurus Zamani Slam, Aalan Ahmad memaklumkan penyanyi terbabit belum mengambil wang berjumlah lebih RM100,000 sumbangan peminat yang disalurkan menerusi dana bantuan diwujudkan oleh Datuk Aznil Nawawi bagi membiayai pembedahan tulang belakangnya.

Aalan berkata, Zamani mahu menunggu terlebih dahulu kerana mahu membuka akaun berasingan agar tidak mahu mencampurkan dengan wangnya yang lain.

"Dia sedang tunggu proses itu sahaja. Dari segi rawatan pula, dua minggu ini kami memang sibuk berulang alik ke hospital untuk urusan selanjutnya.

"Zamani dah buat blood test, full medical check up, Pengimejan Resonans Magnetic (MRI) dan ujian Sinar X. Semuanya dah lengkap..

"Tinggal lagi nak buat perbincangan lanjut dengan doktor di Hospital Kuala Lumpur. Kita ada dua tempat samada di HKL atau Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka belum menetapkan akan melakukan pembedahan di mana kerana sedang menyiapkan laporan perubatan terlebih dahulu.

"Kemudian kita akan pilih hospital mana yang sesuai. Che Puan Sarimah Ibrahim pun ada hubungi kami minta pergi ke tempat kawannya iaitu ALTY Orthopaedic Hospital.

"Semuanya dalam penilaian kerana kita tak tahu sama ada nak buat di hospital kerajaan atau swasta. Kalau kerajaan mungkin kena tunggu giliran tapi kosnya taklah besar, manakala swasta pula mungkin mahal.

"Dalam masa sama, jadual Zamani pula penuh sampai awal Disember. Deposit pun dah ambil jadi dia kenalah menyanyi. Kalau nak buat pun dalam Januari tapi kenalah secepat mungkin kerana keadaannya makin teruk. Aalan berkata, Zamani masih lagi menyanyi seperti biasa kerana sudah lama bersetuju dan mengambil deposit.

"Itu pun periuk nasinya dan dia kena ambil. Takkanlah dia nak stop macam itu sahaja. Cuma sebelum pembedahan, kami rancang nak anjurkan konsert khas iaitu Zamani & Friends di Kuala Lumpur dan Johor Bahru," katanya.

Terdahulu Zamani mengakui mengalami sakit selama 24 jam membabitkan perut dan bahagian belakang akibat penyakit tulang belakang atau Skoliosis.

Pembedahan terpaksa dilakukan memandangkan rawatan serta ubatan tradisional sudah tidak lagi memberikan kesan kepada dirinya.

Disiarkan pada: July 12, 2022 @ 4:17pm
d