rap

Anna Jobling tak mahu tamak

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon yang semakin menyinar menerusi drama Melur Untuk Firdaus, Anna Jobling dibanjiri tawaran lakonan selepas drama berkenaan menjadi bualan ramai.

Pelakon kacukan gadis kacukan Melayu, Inggeris dan Portugis itu bagaimana pun mengambil pendekatan untuk fokus kepada satu naskhah pada satu masa.

Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, mengakui tidak boleh tamak biarpun dilimpahi dengan tawaran lakonan.

"Tidak dinafikan, memang banyak tawaran yang saya terima, malah ketika menjayakan penggambaran Melur Untuk Firdaus pun saya ada terima tawaran.

"Malah, saya juga sedang menjayakan watak heroin untuk drama 20 episod terbitan TV3 bersama Amar Baharin, iaitu Terima Kasih Cinta.

"Saya fokus dengan drama ini dulu sebab agak sukar untuk saya berlari ke sana sini apabila saya menjayakan watak heroin. Sebelum ini saya menjayakan watak sampingan, jadi tiada masalah untuk saya menjayakan empat hingga lima watak dalam satu masa.

"Tapi sekarang ini susah sedikit sebab setiap hari saya kena berada di set penggambaran," kata Anna.

Mengakui bukan mudah untuk berada di tahap ini, Anna dalam masa yang sama tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan.

Malah, dia juga bersyukur kerana drama yang dibintangi itu berjaya membuka mata banyak pihak dengan bakat yang dimilikinya.

"Akhirnya ramai yang mula sedar sebab saya memang bekerja keras untuk sampai ke tahap ini dan saya harap saya akan terus bekerja keras untuk memperbaiki mutu lakonan saya.

"Jujurnya saya sendiri tak percaya ramai penerbit yang percaya saya boleh membawakan watak heroin. Saya sangat berterima kasih terutamanya kepada penerbit Melur Untuk Firdaus.

"Drama ini yang membuatkan saya betul-betul dikenali sebagai pelakon. Sebelum ini saya berlakon tapi sikit-sikit saja sebab saya juga aktif di dalam dunia peragaan," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2022 @ 1:33pm
d