rap

Nuha & Naufal teruk nyanyi Casablanca?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Persembahan Nuha Bahrin menerusi lagu Casablanca pada program MeleTop baru-baru ini mengundang kritikan dalam kalangan pengguna laman sosial.

Nyanyian Nuha bersama rakan duet Naufal Azrin dikatakan 'teruk' dan jauh berbeza daripada rakaman asal.

Nuha, 22, atau nama sebenarnya Nuha Sakina Saiful Bahrin berkata, dia enggan melatah sebaliknya menerima semua komen dan kritikan secara positif.

"Program MeleTop baru-baru ini adalah persembahan secara langsung pertama kami untuk lagu Casablanca. Bagi saya, komen-komen yang saya dapat, positif atau negatif, saya ambil semua positif. Saya ambil perhatian pada komen membina.

"Banyak lagi sebenarnya saya kena belajar dalam bidang nyanyian. Banyak perkara lagi saya kena kawal. Saya minta maaf kepada mana-mana yang kecewa dengan persembahan itu. Saya faham, tapi setiap hari saya cuba untuk majukan diri, tambah baik dan bekerja keras untuk diri," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Nuha pernah juga pernah tular hingga mendapat kecaman teruk apabila muncul pada program Vokal Mania (2020) ketika menyanyikan lagu Kekasih Awal Dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah.

Dalam masa sama, Nuha bersyukur dan tidak menjangka lagu Casablanca berjaya mencipta fenomena bukan sahaja dalam negara tapi juga di Indonesia apabila  menjadi  lagu pertama tempatan  yang  paling  tular  dengan  menduduki  tangga  teratas carta Spotify  Viral  50 Global dan Spotify  Viral  50  Indonesia.

"Perasaan  saya sangat  terkejut sebab  tak  jangka  lagu  Casablanca sudah  sampai ke tahap ini, dan  dalam  masa  sama saya teruja  dengan  projek  yang  akan  datang.  Pendek  kata, terkejut, teruja dan sangat gembira.

"Apa yang kami dapat sekarang dan sokongan yang diperoleh bukan saja daripada peminat tanah air tapi juga dari Indonesia dan Brunei yang kami tidak menjangkakan sama sekali. Saya amat bersyukur dengan sokongan berterusan daripada peminat," katanya.

 

Disiarkan pada: July 17, 2022 @ 1:32pm
d