rap

Penjualan filem Mat Kilau pada Netflix belum muktamad

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali, menafikan platform penstriman terkenal, Netflix akan membeli karya Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebanyak RM7 juta.

Rahman ketika ditemui berkata, jumlah yang dikongsikan oleh pengarah, Syamsul Yusuf sebelum ini adalah tidak tepat dan pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan Netflix.

"Sebenarnya amaun yang diberikan tidak tepat. Pada awalnya mereka nak beli dengan harga RM5.5 juta untuk tempoh 10 tahun dan terbaharu mereka menawarkan RM2 juta untuk tayangan filem ini di Netflix dalam tempoh yang lebih pendek.

"Setakat ini, saya belum membuat apa-apa keputusan muktamad lagi. Saya masih mempertimbangkan tawaran ini dengan terma baru yang mereka kongsikan," katanya ketika ditemui pada sesi perkongsian bersama pelajar-pelajar Sekolah Sukan Negeri Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kutipan terkini filem Mat Kilau, Rahman memberitahu, setakat ini filem terbabit sudah meraih hampir RM84 juta.

"Saya belum mendapat jumlah terkini kutipan setakat semalam, tapi saya jangka kutipan sudah melepasi RM84 juta," katanya ringkas.

Disiarkan pada: July 20, 2022 @ 3:31pm
d