rap

Mat Kilau kutip RM84 juta selepas 27 hari ditayangkan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Selepas 27 hari ditayangkan, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan RM84 juta. 

Penerbitnya yang juga pengarah urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali berkata, pihaknya masih belum mendapat jumlah tepat membabitkan kutipan dalam negara.

"Setakat semalam, kutipan filem Mat Kilau mencecah RM84 juta. Dianggarkan, untuk kutipan dalam Malaysia saja RM79 juta, tolak Singapura dan Brunei. Sebab, saya difahamkan kutipan di Singapura belum ditukar kepada nilai Ringgit Malaysia.  

"Insya-Allah, menjelang hujung minggu ini jumlah kutipan terus bertambah. Jika tidak ada pihak yang membocorkan file mini di YouTube atau platform lain. Seperti yang saya cakap sebelum ini kita yakin filem Mat Kilau mampu mengatasi filem kutipan filem paling laris ditayangkan di Malaysia iaitu Avengers: Endgame yang mengutip RM87 juta," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Abdul Rahman, pihak panggung Golden Screen Cinemas (GSC) melanjutkan dua minggu lagi tayangan filem itu. 

"Saya dimaklumkan oleh pihak GSC, mereka tambah lagi dua minggu. Panggung lain mereka kena tengok pada sambutan filem ini. 

"Apa pun, saya tetap bersyukur dan bangga apabila kejayaan diraih filem ini meletakkan satu lagi standard baru kepada filem tempatan. Dalam masa sama, kita boleh buktikan filem Melayu juga boleh berjaya. 

"Difahamkan ada filem Hollywood terpaksa ditunda tayangannya kerana filem Mat Kilau masih mendapat sambutan baik. Bagi saya, ini peluang untuk kita menghasilkan lebih banyak filem yang baik dan berkualiti pada masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2022 @ 5:21pm
d