rap

Wany Hasrita rahsia hubungan bagi menjaga peribadi suami

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

Petaling Jaya: Wany Hasrita memilih merahsiakan kisah hubungan cintanya dengan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun kerana mahu menghormati peribadi suaminya.

Menurut penyanyi lagu Belenggu Rindu itu, dia juga belajar daripada pengalaman lalu di mana banyak perkara boleh berlaku dalam sesuatu hubungan.

"Bukan rahsia sebenarnya. Saya pun belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana selagi belum ada ketetapan yang sahih dalam perhubungan itu, tidak perlu dikongsikan. Itu sebab dalam perhubungan kali ini, saya mengambil pendekatan sebegitu. Biar semuanya sudah 'confirm' (sah) barulah kita kongsikan.

"Lagipun dia juga bukan seorang yang cenderung kepada media sosial. Dia tak suka menonjolkan diri apatah lagi di media sosial. Jadi, saya kena belajar untuk menjaga privasi itu. Walaupun dia jenis tak kisah, tapi saya sendiri yang nak menjaga atas dasar menghormati," katanya.

Wany juga bersyukur atas penerimaan suami terhadap kerjayanya sebagai anak seni yang bergelumang dengan dunia glamor.

"Macam dikatakan, dia bukan 'kaki media sosial'. Disebabkan itu dia tak ambil tahu sangat. Lagu saya pun dia tak tahu banyak, jauh sekali soal gosip. Pendek kata, suami bukan seorang yang minat dalam industri hiburan.

"Alhamdulillah, dia menerima saya seadanya dan sangat baik. Dia memahami kerjaya saya dan tak kacau, cuma pesannya apa yang perlu dijaga, kena jaga. Pendek kata, dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menjaga diri. Dalam masa sama, dia pun tahu siapa kawan-kawan saya, sebaliknya begitu juga saya," katanya.

Semalam, Wany dan Adib diijabkabulkan oleh bapa Wany, Hasbullah Hassan dalam majlis yang dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan terdekat dan media.

Majlis kesyukuran bagi meraikan pasangan pengantin baharu ini akan diadakan esok di Cheras, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: July 23, 2022 @ 11:24am
d