rap

Pesan ibu, netizen jadi 'azimat' buat Wany Hasrita

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi popular Wany Hasrita, 30, menerima baik peringatan netizen buatnya yang meminta agar dia tidak terlalu menunjukkan kebahagiaan rumah tangganya dan hubungan romantis suami isteri di media sosial selepas memiliki ikatan sah ini.

Wany Hasrita atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah ditemui berkata dia berterima kasih dengan sokongan serta doa yang baik-baik diberikan netizen kepadanya dan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 30, sejak berita perkahwinan mereka tersebar termasuk peringatan positif berkenaan.

"Saya akan cuba yang terbaik dalam menjaga rumah tangga kami yang baharu dibina ini. Lagi pula, sebenarnya ibu saya juga selalu pesan, 'bahagia jangan tunjuk, derita pun jangan tunjuk'. InsyaAllah, saya akan berkongsi (di media sosial) apa yang patut saja dan berpada-pada. Selebihnya, memang untuk karier.

"Apapun, saya juga sebenarnya agak gementar nak bercakap mengenai perkara ini (perkongsian peribadi di media sosial), sebab bimbang kalau-kalau terbuat selepas ini. Tapi, saya pun setuju sebenarnya dengan peringatan netizen berhubung hal sebegini," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Wany Hasrita dan suami, Mohd Al-Adib diraikan oleh kenalan, media dan peminat-peminatnya dalam majlis kesyukuran yang diadakan di Ruscus Hall Forest Valley, Bukit Mahkota Cheras, di sini, malam tadi.

Kira-kira 600 tetamu jemputan hadir meraikan pasangan pengantin yang tampil menggayakan busana sedondon berwarna kelabu. Malah, Wany berkata, tiada lagi majlis resepsi lain akan dianjurkan untuk meraikan perkahwinannya selepas ini.

Pada Jumaat lalu, Wany Hasrita selamat bergelar isteri kepada Mohd Al-Adib dengan dua kali lafaz akad nikah. Dalam majlis itu, pengantin perempuan juga menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin berlian dan tiada dulang hantaran daripada kedua-dua belah pihak. Bahkan, wang hantaran dirahsiakan.

Pasangan sejoli ini diijabkabulkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa. 

 

Disiarkan pada: July 25, 2022 @ 12:46pm
d