rap

Sharifah Amani tempuhi fasa bahagia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Sharifah Amani tidak menolak sekiranya majlis perkahwinannya akan berlangsung dalam tahun ini.

Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya bagaimanapun menyerahkan segalanya kepada Tuhan kerana dia hanya mampu merancang.

"Insya-Allah, kalau dipermudahkan. Kita hanya boleh merancang, Tuhan yang menentukan," jawabnya ringkas.

Menurut pelakon filem Gubra itu lagi, dia sangat gembira dengan fasa kehidupannya selepas bertunang dan berkongsi mengenai keputusannya untuk tidak terlalu menguar-uarkan mengenai tunangnya.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira. Kami berkenalan dalam empat tahun. Bagi saya, kami tak mahu uar-uarkan sangat.

"Dalam zaman media sosial seperti sekarang, apa benda yang kita buat pun akan nampak salah. Tak kiralah dari kiri atau dari kanan, memang akan nampak salah dan dikritik," katanya.

Dia juga tidak akan mendedahkan wajah bakal suaminya ketika ini.

"Saya harap, nanti saya akan tunjukkan wajahnya. Bagi saya, saya tak mahu apa-apa gangguan dari luar. Dia pun bukanlah orang dari industri yang sama.

"Semua orang akan cakap sesuatu, mengenai sesuatu. Saya tak nak jadi sebahagian daripada itu. Bila dah nikah nanti, nak cakap apa pun silakan," katanya.

Ditanya mengenai keperibadian jejaka itu, Amani tertarik dengan kebijakkannya.

"Dia boleh 'handle' (kawal) saya. Dia manusia yang sangat bijak. Saya tertarik dengan orang yang bijak dan dia pun lucu," katanya.

Terbaharu, Amani kini membintangi drama bersiri Murder By Moonlight yang turut dibintangi Sara Ali, Riz Amin, Ruzana Ibrahim, Radhi Khalid dan ramai lagi.

Drama lapan episod ini akan ditayangkan bermula 1 Ogos di saluran Astro Citra.

Disiarkan pada: July 26, 2022 @ 7:56pm
d