rap

Anuar, Ziana gamatkan Dewan Plenary KLCC

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert," kata penyanyi terkenal Ziana Zain di hadapan kira-kira 2,800 penonton yang hadir pada konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.

Konsert yang berlangsung jam 9 malam itu bermula dengan persembahan duet penuh bertenaga daripada pasangan adik-beradik popular ini menerusi lagu Sangkar Cinta dan Bila Resah yang dibawakan secara medley.

Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan lagu-lagu hits Ziana dan Anuar sekali gus berjaya membuatkan penonton yang hadir begitu terhibur dan teruja.

Antara lagu popular yang dipersembahkan Ziana adalah Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah.

Sementara Anuar pula menghiburkan peminat dengan lagu-lagu popularnya seperti Ketelusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

Lebih menyeronokkan, penonton turut berpeluang menyaksikan adik-beradik ini menyanyi secara duet menerusi lagu Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan.

Malam penuh bersejarah itu turut menyaksikan gabungan kali pertama mereka dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur.

"Akhirnya kita disatukan di Kuala Lumpur. Kali pertama konsert kami pada tahun 2010 di Singapura," kata Ziana.

Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar bersyukur apabila mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam ini.

"Anda boleh pergi ke mana-mana, tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif.

"Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua," kata Anuar yang sebak dengan respons yang diterima sehingga kini.

Pada konsert berkenaan, terdapat peminat yang gagal menahan air mata sebaik melihat artis pujaan mereka membuat persembahan.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran rakan-rakan selebriti yang memberikan sokongan antaranya Misha Omar, Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil, Ernie Zakri, Syamel, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan Rozita Che Wan.

Tidak ketinggalan, konsert terbabit turut direstui dengan kehadiran ibu bapa selebriti itu iaitu Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta anak-anak Ziana.

Pada penghujung konsert, Ziana dan Anuar berkongsi berita gembira apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert di Singapura pada 24 September depan.

Disiarkan pada: August 6, 2022 @ 11:50pm
d