rap

Penantian Aishah jayakan konsert skala besar berbaloi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Walaupun terjatuh selepas raptai, tidak menjejaskan penyanyi Datuk Aishah, 57, menghadiahkan konsert epik yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam tadi.

Diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata dia lega konsert itu tertunai selepas pelbagai dugaan menimpa demi realisasikannya.

"Jauh perjalanan saya untuk tunaikan konsert ini. Bukan setakat pandemik, saya turut dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali selain berdepan masalah paru-paru.

"Sewaktu habis raptai baru-baru ini, saya turut jatuh terlentang apabila sampai ke hotel. Mujur tidak menjejaskan apa-apa dan dapat berdiri di sini malam ini.

"Selama 36 tahun menyanyi, impian untuk adakan konsert dengan pasukan orkestra penuh jadi realiti. Saya benar-benar berterima kasih kepada semua pihak," katanya.

Dihadiri lebih 900 penonton, Aishah cukup bertenaga di atas pentas menyanyi lebih 25 lagu. Anggun menyarung dua persalinan rekaan Razman Razmi, dia tetap lincah pada usia separuh abad.

Antara lagu dipersembahkan termasuk Bahtera Merdeka, Janji Manismu, Camar Yang Pulang, All By Myself, Hanakage, Kau Pergi Tanpa Pesan, Fatwa Pujangga, Bayangan, dan banyak lagi.

Aishah turut menunaikan permintaan peminat untuk lagu hari raya, Pulanglah yang dipersembahkan secara acapella. Itu antara tindakan spontan dilakukannya yang berjaya mencuit hati penonton.

Disiarkan pada: August 6, 2022 @ 11:51pm
d