rap

Eric Fuzi mohon maaf kali kedua

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Floor 88 yang juga pemain keyboard, Eric Fuzi memohon maaf secara terbuka kepada wakil media berikutan insiden yang berlaku ketika promosi secara virtual telefilem Hutang 2D, pada tahun lalu.

Eric yang hadir pada majlis meraikan ulang tahun kelima Floor 88 semalam, memaklumkan dia tidak bermaksud langsung untuk mencetuskan kontroversi dan salah faham dengan beberapa wakil media terbabit.

"Cuma, sebagai manusia biasa saya pun tidak terlepas daripada kekhilafan ketika itu. Justeru, di kesempatan ini, saya sekali lagi ingin memohon maaf sepenuh hati kepada semua wakil media yang banyak membantu Floor 88 selama ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua wakil media di atas kesudian terus menyokong Floor 88 dalam karier seni kami sama ada sebagai pemuzik, pelakon dan semua cabang yang diceburi. Alhamdulillah, atas sokongan diberikan itu, kami dah bertahan selama lima tahun," katanya.

Eric yang pernah dikenali sebagai pelakon sejak kanak-kanak, memaklumkan dia amat berharap permohonan maaf secara terbuka dibuatnya diterima baik semua pihak media.

Katanya, Floor 88 mahu meneruskan kerjasama baik dengan wakil media hiburan tempatan.

Menurutnya, dia memohon kemaafan itu dengan rela hati sejak Ramadan lalu.

Bagaimanapun, jelasnya dia bertindak sekali lagi untuk memohon maaf kerana berasakan itu amat baik dan tetap wajar dilakukan.

Terdahulu, insiden Eric dan media berlaku apabila dia kurang berpuas hati dengan berita yang disifatkan menjurus pada cerita peribadi berkaitan terpaksa meneruskan kelangsungan hidup dengan wang simpanan selepas dua bulan tiada sumber pendapatan.

Disiarkan pada: August 9, 2022 @ 4:12pm
d