rap

Terpaling Juara terbaharu dari TV3

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Petaling Jaya: TV3 tampil dengan program baharu Terpaling Juara yang mula ditayangkan pada 21 Ogos ini, setiap Ahad, jam 9 malam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof, berkata, TV3 sangat berbesar hati untuk memperkenalkan program hiburan yang berkonsep baharu.

"Saya sangat yakin akan kemampuan tenaga kerja produksi dalam menghasilkan program TV yang berkualiti dan menghiburkan. Pastinya, Terpaling Juara bakal mendapat tempat di hati penonton setia TV3 dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten bersama-sama dengan enam peserta sepanjang lapan minggu yang terdiri daripada tiga penyanyi senior dan tiga peserta yang dipilih daripada uji bakat," katanya.

Tiga kapten itu terdiri daripada bekas pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu Akim Ahmad (Juara Lagu 30 - Potret); Hael Husaini (Juara Lagu 32 - Jampi & Juara Lagu 33 - Haram); dan Naim Daniel (Juara Lagu 34 - Sumpah).

Menurut Nini, ketiga-tiga mereka menggalas tugas sebagai kapten, membimbing seorang penyanyi legenda dan seorang bintang baharu untuk menjayakan persembahan mingguan yang bertemakan #playlistAJL.

Sementara itu, Ifa Raziah, Hazami dan Rahmad Mega ialah tiga penyanyi yang popular dengan genre muzik masing-masing menyahut cabaran untuk melakukan anjakan paradigma dalam kerjaya nyanyian mereka.

Selain itu, tiga peserta yang terpilih pula terdiri daripada Shaz (Shazreen Shaharum, 26); Aqmal (Aqmal Ramdan, 26) dan Aqeesh (Aqeesh Aleeya, 18).

Mereka terpilih menerusi uji bakat yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai lalu.

Dalam saingan hebat yang mencatatkan jumlah 380 peserta di sesi uji bakat, Shaz, Aqmal dan Aqeesh berjaya menempah tiket ke Terpaling Juara.

Terpaling Juara menampilkan Haziq Hussni dan Shiha Zikir sebagai hos serta Datuk Hattan dan Fauziah Latiff sebagai juri tetap.

Program ini membuka gelanggang dengan konsert pengenalan semua peserta sebelum tiga kapten mengumumkan siapakah dua peserta pilihan mereka.

Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah berjumlah RM100,000, manakala naib juara bakal memenangi RM50,000 dan pemenang ketiga pula menerima RM30,000.

Terpaling Juara menampilkan Vivo sebagai penaja utama, Nivea sebagai penaja bersama, Hot FM sebagai rakan radio rasmi, Berita Harian dan Harian Metro sebagai rakan media rasmi serta Xtra dan Oh Bulan! sebagai rakan digital.  

Disiarkan pada: August 11, 2022 @ 4:40pm
d