rap

Fazura anjur konsert

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon popular dan usahawan, Nur Fazura bakal menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan yang akan menghimpunkan artis terkenal tempatan dan Indonesia.

Konsert berkenaan yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu membariskan penyanyi popular tempatan seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

Ia turut disertai Ahmad Band dari Indonesia yang diketuai legenda muzik Indonesia, Ahmad Dhani bersama isterinya, Mulan Jameela.

Fazura berkata, dia bersyukur kerana konsert itu akhirnya dapat juga direalisasikan kerana dia sudah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama dengan rakan-rakan seni yang amat dikaguminya itu.

"Harga tiket pula sudah tentunya harga yang mampu milik. Ini kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura.

"Selain persembahan hebat artis yang saya kagumi ini, beberapa kejutan istimewa juga bakal kami tampilkan semasa konsert ini nanti," katanya di sidang media Faztival Fazura 2022 di sebah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Fazura berkata, konsert anjurannya ini bagi meraikan peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjayanya dan juga rangkaian produk yang diasaskannya.

"Selain meraikan stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan pencapaian yang terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produk jenama Fazura.

"Saya harap penganjuran sulung Faztival Fazura ini berjaya supaya dapat dijadikan sebagai konsert tahunan," katanya.

Konsert Faztival Fazura 2022 diuruskan oleh Icon Entertainment dan tiket bakal dijual pada 19 Ogos ini dengan harga yang bermula dari RM147.

Disiarkan pada: August 12, 2022 @ 5:01pm
d