rap

TV Alhijrah stesen TV Islam nombor satu Asean

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Stesen TV Alhijrah menerima anugerah No 1 Asean Most Promising Islamic TV Station pada Majlis Penganugerahan Indonesia Award Magazine 2022 di Jakarta, baru-baru ini.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan wakil Ketua Koordinator Indonesia Award Magazine, Rajasa Pranadewa kepada Ketua Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Namanzee berkata, pemilihan TV AlHijrah berdasarkan kepada faktor keunikan yang dimiliki stesen Islam pertama di Malaysia itu. 

"TV AlHijrah kini mula 'diintai' oleh negara jiran berikutan produktiviti dan kualiti penerbitan programnya yang mendapat tempat, selain keunikannya sebagai platform dakwah Islam yang memanfaatkan teknologi canggih, media baharu dan kreativiti pada persembahannya.

"Satu lagi anugerah yang menterjemah keyakinan pelbagai pihak kepada TV AlHijrah. Bukan saja diterima di Malaysia, namun kali ini lebih manis apabila ia diterima dari negara jiran, Indonesia. Kita yakin ini satu pembakar semangat untuk meneruskan usaha dakwah kita malah pembuka jalan untuk kita menembusi industri penyiaran di negara jiran dalam pelbagai bentuk kerjasama," katanya.

Menurut Namanzee, anugerah itu bakal menyuntik semangat kepada kakitangan untuk terus menyumbang kepada usaha mengukuhkan penyiaran Islam di peringkat global.

"Kami sangat bersyukur menerima anugerah ini dan berbangga membawa nama Malaysia serta penyiaran Islam ke peringkat antarabangsa. Semoga selepas ini, lebih banyak kerjasama di peringkat antarabangsa dapat dilaksanakan," katanya. 

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Berita dan Ehwal Semasa TV AlHijrah, Ardi Herman Mohd Mardzi dan Eksekutif Komunikasi Korporat TV AlHijrah, Norhaniza Mat Husain.

Disiarkan pada: August 13, 2022 @ 11:36am
d